BANDAR BARU BANGI, 16 Sep 2015 (BHP) — Tentera Zionis tidak pernah berhenti daripada usaha mereka untuk menghancurkan bangsa Palestin. Apa yang berlaku di seluruh bumi Palestin hari ini, samada dalam bentuk serangan besar-besaran di Gaza mahupun merampas rumah serta menghalau keluar penghuninya di Tebing Barat, juga membakar kanak-kanak secara hidup-hidup, adalah rentetan usaha mereka untuk memastikan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa tetap berada di tangan mereka selama-lamanya.
Kisah sedih dan ngeri yang dialami rakyat Palestin terus berlaku. Mengambil peduli tentang apa yang telah dilakukan oleh tentera Zionis dalam tragedi pembantaian di Sabra dan Shatila, stesen media Al Jazeera telah menemu bual tiga orang penghuni kem tersebut yang melalui sendiri peristiwa ngeri itu 33 tahun lalu.
Unit media HALUAN Palestin menulis semula kisah ngeri tersebut.
Sabra adalah sebuah kawasan miskin di barat Beirut di Lubnan, yang terletak bersebelahan dengan kem pelarian UNRWA (Badan PBB untuk Pelarian Palestin) Shatila yang dibina untuk menempatkan pelarian Palestin pada tahun 1949. Selama bertahun-tahun penduduk dari kedua-dua kawasan ini bergaul dan menjadi semakin bercampur, sehingga biasa disebut sebagai Kem Sabra-Shatila.
Merangkak dan mati
Siham Balqis, seorang penduduk Shatila, berumur 26 tahun ketika peristiwa itu berlaku. “Kami dengar bunyi tembakan pada waktu malam hari Khamis, tetapi kami tidak pedulikannya kerana keadaan perang yang sedang berlaku dan bunyi seperti itu bukanlah suatu yang luar biasa bagi kami,” Siham bercerita kepada wartawan Al Jazeera.
Beliau tinggal kawasan Shatila, di hujung kedua-dua kem tersebut. Menurut beliau, pembantaian bermula di Sabra dan seterusnya bergerak ke arah utara. “Mereka hanya sampai ke tempat kami pada waktu pagi hari Sabtu.”
Pada jam 7:00 pagi, Siham berhadapan dengan tiga orang militan Falangis dan seorang askar Zionis yang mengarahkan beliau supaya keluar dari rumah.
“Salah seorang Falangis mara untuk menyerang saya, tetapi askar Zionis menarik beliau, seolah-olah ingin menunjukkan bahawa beliau (askar Zionis) adalah lebih baik daripada Falangis,” kenang Siham.
Dalam keadaan kecoh, seorang jiran Siham yang berbangsa Lubnan datang dan memberitahu bahawa beliau mendengar berita orang disembelih. Militan Falangis menafikan berita tersebut. Justeru jirannya itu meminta supaya mereka membantu beberapa orang pelarian Palestin yang bersembunyi di Hospital Gaza, yang terletak di hujung Kem Sabra.
Setelah mendengar hal tersebut, militan Falangis mengarahkan supaya kira-kira 200 orang yang ditangkap bergerak ke arah hospital. Apabila tiba di sana, mereka mengarahkan semua doktor dan jururawat, yang majoritinya adalah berbangsa Lubnan atau warga asing, supaya keluar dari hospital.
“Saya masih ingat seorang lelaki Palestin dari keluarga Salem, di awal 20-an, yang menyarung baju doktor untuk cuba lari keluar,” kata Siham. “Militan Lubnan menangkap lelakia itu, dan apabila mendapati dia adalah seorang berbangsa Palestin, mereka sembur badannya dengan bedilan peluru.”
Pada satu ketika, militan memisahkan wanita di satu sudut dan lelaki di sudut yang lain.
“Mereka akan pilih lelaki secara rawak dan memaksa mereka merangkan di atas lantai. Jika seorang lelaki merangkak dengan baik, militan menganggap beliau telah melalui latihan tentera, jadi mereka akan membawa lelaki tersebut ke belakang tebing pasir dan membunuhnya.”
Bagi mereka yang belum dibunuh, militan Falangis mengarahkan mereka berarak di atas mayat-mayat yang bergelimpangan di atas jalan, ke arah sebuah stadium di pinggir kem.
“Kami dipaksa berjalan di atas mayat-mayat dan celahan periuk api,” kata Siham. “Pada satu ketika, sedang saya melepasi sebuah kereta kebal, saya lihat mayat seorang bayi, yang mungkin baru berumur beberapa hari, yang tersangkut di rantai roda kereta kebal.”
Di stadium, tentera Zionis mengambil alih kuasa daripada militan Falangis.
“Di sinilah tentera Zionis menangkap abang saya Salah, yang berumur 30 tahun, untuk disoal siasat,” kata Siham. Di dalam stadium, kaum lelaki disoal-siasat, didera dan dibunuh. Hanya beberapa orang sahaja yang dapat keluar hidup. Tentera Zionis mengugut mereka, “Kalau kamu tidak bekerjasama, kami akan serahkan kamu kepada Falangis.”
Dilitupi Darah
Wadha Sabeq yang berumur 33 tahun ketika kejadian, tinggal di Bir Hassan, kawasan kejiranan bangsa Lubnan berhampiran kem.
“Pada pagi Jumaat, jiran kami memberitahu bahawa kami perlu mengesahkan kad pengenalan kami di satu tempat bersebelahan bangunan kedutaan Kuwait, di luar pintu masuk kem Sabra. “Jadi kami bergerak ke sana.”
Wadha membawa bersama lapan orang anaknya, yang berumur dari tiga hingga 19 tahun.
Sedang mereka berjalan melalui Shatila, militan Falangis menahan mereka. “Mereka kerah kami bergerak bersama yang lain, dengan memisahkan lelaki dari wanita,” cerita Wadha. Militan menangkap 15 lelaki dari keluarganya, termasuk anaknya Mohammad, 19 tahun, Ali, 15 tahun, dan adiknya yang berumur 30 tahun.
“Militan membariskan mereka di sebuah dinding, dan mengarahkan semua wanita supaya bergerak ke arah stadium. Mereka arahkan kami bergerak dalam satu barisan, dan tidak dibenarkan melihat ke arah kiri mahupun kanan.” Militan Falangis turut bergerak bersebelahan mereka bagi memastikan arahan dipatuhi.
Itulah kali terakhir Wadha melihat keluarganya.
Apabila tiba di stadium, mereka terpaksa menunggu. “Kami tidak pasti apa yang sedang berlaku, kami fikir mereka ingin memeriksa kad pengenalan,” kata Wadha.
Setelah seharian berada di stadium, tentera Zionis arahkan mereka supaya pulang ke rumah.
Keesokan harinya, Wadha kembali ke stadium untuk bertanya tentang anak dan saudara lelakinya.
“Seorang wanita berkejar datang ke stadium, memberitahu kami supaya segera ke kawasan kem untuk mengenal pasti mereka yang disembelih,” kata Wadha.
Mereka berlari ke arah stadium, dan apabila Wadha melihat mayat-mayat bergelimpangan di atas tanah, dia jatuh pengsan. “Kami tidak sanggup melihat wajah mayat-mayat, mereka semuanya dilitupi darah dalam keadaan muka yang cacat,” katanya. “Kami hanya dapat mengenali mayat melalui pakaian mereka.”
“Saya tidak menemui anak-anak saya, tidak seorang pun dari keluarga saya,” kata Wadha. “Kami pergi ke Persatuan Palang Merah, ke hospital, setiap hari, untuk bertanya tentang mereka. Tidak ada siapa yang dapat memberi jawapan.”
“Kami tidak pernah menjumpai mayat mereka,” kata beliau, sambil air mata menitis di pipi.
Tidak siapa percaya
Jameel Khalifa berumur 16 tahun dan baharu melangsungkan pertunangan ketika pembantaian itu berlaku.
“Pada pagi Sabtu, kami melihat militan Falangis menuruni tebing bukit dan bergerak ke arah rumah-rumah,” cerita Jameel. “Kami lihat kereta kebal datang, dinaiki oleh tentera Zionis dan militan Falangis, sebahagiannya dalam pakaian preman, sebahagian lagi memakai topeng.”
Ketika militan mula memecahkan pintu masuk rumah-rumah, banyak keluarga yang berjaya keluar dari pintu belakang dan dilindungi oleh jiran mereka. Apabila mendengar arahan tentera bahawa mereka tidak akan menembak jika menyerah diri, seorang wanita tua yang sedang bersembunyi mengoyakkan tudung putihnya, dan memberi setiap orang seutas koyakan kain itu untuk dikibarkan supaya mereka tidak ditembak.
“Bapa memegang saya, memberitahu saya supaya tidak meninggalkan tempat bersembunyi, tetapi saya menjawab bahawa kami seharusnya keluar,” katanya.
Kaum wanita bergerak keluar terlebih dahulu.
Ketika ibunya keluar dari tempat bersembunyi, seorang militan Falangis mengacukan senjata Kalashnikov ke perut ibunya. Sambil menyumpah-nyumpah, militan tersebut menjeri, “Aku akan bunuh kamu.”
Seorang askar Zionis yang memerhati dari dekat mengarahkan dalam bahasa Hebrew supaya ibunya dibiarkan sahaja.
“Bapa saya keluar dari tempat bersembunyi di belakang abang saya. Apabila beliau melangkah keluar, seorang askar Zionis menembak ke arah kepalanya,” kata Jameel.
Seperti orang lain, para militan memaksa kami bergerak. Dalam perjalanan, Jameel dan beberapa orang kanak-kanak lain berjaya menyusup masuk lorong-lorong ke arah sebuah masjid yang terletak di jauh di dalam kem.
“Kami terjumpa sekumpulan orang tua yang duduk di dalam masjid, dan memberi tahu bahawa tentera sedang bergerak datang dan membunuh orang. Mereka tidak percaya kepada apa yang kami kata, bahkan menuduh kami berbohong dan menyuruh kami meninggalkan mereka.”
Jameel akhirnya tiba di Hospital Gaza, di mana dia telah berjumpa semula dengan keluarganya. Apabila melihat orang di sekeliling mereka di bunuh, mereka merancang untuk melarikan diri dan akhirnya berjaya lari melalui lorong-lorong kecil di dalam kem.
“Kami sangat takut untuk cuba lari, kerana kami nampak ramai yang telah mencuba dan dibunuh oleh penembak tepat,” kata Jameel.
Mereka berjaya keluar dari kem dan berlindung di sebuah sekolah di kejiranan bangsa Lubnan di Corniche el Mazraa. Mereka hanya pulang semula ke kem setelah mendapat berita bahawa pembantaian telah berakhir.
“Kami pulang dan menyaksikan mayat-mayat berkecai kerana militan Falangis dan tentera Zionis meletakkan periuk api di bawah mereka,” kata beliau.
“Saya masih ingat baunya. Baunya sangat kuat selama seminggu walapun mereka menyembur kawasan kem untuk menhilangkan bau itu.”
Kekejaman berterusan selagi mana dunia membisu
Hari ini, tentera Zionis dan pelampau Yahudi terus membunuh rakyat Palestin. Tidak ada bezanya kekejaman mereka ke atas pelarian Sabra dan Shatila dari penduduk Gaza yang diserang dan dikepung sejak lebih lapan tahun lalu. Tidak ada nilai kemanusiaan bagi rejim Zionis yang membiarkan pendatang Yahudi membakar anak-anak Palestin secara hidup-hidup, merampas tanah dan rumah rakyat Palestin, meninggalkan mereka tanpa tempat tinggal dan sumber pencarian hidup.
Sikap berdiam diri masyarakat dunia menjadi lampu hijau kepada rejim Zionis untuk terus melakukan kekejaman. Mungkin mereka akan hanya bangkit dari berdiam diri apabila zionis dan sekutunya hadir mengetuk pintu rumah mereka sendiri, membawa nafsu kejam mereka untuk menghapuskan sesiapa sahaja yang menentang agenda mereka.