Masjid Al-Anbiya Palestin Di Bakar

5 Okt, Betlehem – Pihak penguasa polis Palestin telah melancarkan siasatan ke atas kebakaran yang telah berlaku di sebuah masjid yang diyakini disebabkan oleh tindakan penduduk Israel semalam (4 Okt) di Betlehem.

Menurut saksi, sebahagian daripada Masjid Al-Anbiya Palestin di bandar Beit Fajjar dibakar oleh lima penduduk Yahudi pada awal pagi Isnin (4 /10). Para pencetus kebakaran itu juga turut merosakkan sejadah dan salinan naskah Quran, selain semburan tulisan anti-Arab di dinding masjid.

Seorang saksi, Muhammad Taqatqa, yang tinggal di sebelah masjid mengatakan dia melihat sebuah kereta putih berplatkan Israel meninggalkan bandar selepas masjid dibakar, menuju ke arah barat persimpangan Etzion.

Taqatqa mengatakan 15 versi Quran dibakar dalam insiden ini dan beberapa tiang batu sekitar dalam masjid runtuh.  Penduduk berkata, mereka bergegas memadamkan api sehingga petugas pemadam kebakaran Palestin dan polis tiba di tempat kejadian.

Selepas serangan berlaku, Avital Leibovitch,  jurucakap ketenteraan Israel berkata, Israel akan membawa pihak-pihak yang bersalah ke mahkamah.

“Polis Israel telah memulakan siasatan secara menyeluruh, “Kita melihat kejadian ini dengan sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Kami akan terus melakukan usaha untuk mencari pelanggar undang-undang tetsebut dan membawa mereka ke mahkamah .. ” katanya.

Kejadian vandalisme Isnin lalu adalah merupakan serangan keempat terhadap sebuah masjid di Tebing Barat sejak tahun lalu. Mei lalu, Palestin menuduh penduduk Israel telah membakar sebuah masjid di desa Libban al-Sharqia. Israel mengatakan kebakaran itu mungkin disebabkan oleh percikan api semasa kerja-kerja membina bangunan.

“Ini bukan pertama kalinya bahawa penduduk telah membakar masjid. Ianya bermula ketika mereka membakar Masjid Al-Aqsa pada tahun 1969 dan ianya masih berterusan,” demikian kata Muhammad Ayash, Pengerusi Waqaf Islam di daerah Betlehem.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Betlehem, Mohammed Taha Abu Ali, seorang anggota Dewan Revolusi untuk gerakan Fatah, mengatakan bahawa kejahatan Israel ini mencerminkan wajah sebenarnya dari pendudukan Israel. Abu Ali mengecam serangan tersebut dan mengatakan bahawa hal ini tidak boleh dibiarkan terutama setelah saksi yang melihat kejadian tersebut telah menegaskan bahawa kejadian itu terjadi di depan mata tentera Israel. Beliau juga menekankan agar Pihak Berkuasa Palestin memberikan perhatian  yang lebih tinggi dan sokongan jitu kepada warga Palestin. Beliau menyeru kepada penduduk Beit Fajar agar bersatu membina semula masjid yang cuba di bakar oleh warga Israel tersebut. Usaha pembinaan semula ini akan menghantar  satu mesej kepada para penduduk haram Israel bahawa rakyat Palestin akan tetap tidak peduli walau apapun tindakan mereka terhadap warga Palestin.

Sementara itu, Hamas pula dalam memberi reaksi atas kejadian kebakaran masjid tersebut menyeru kepada rakyat Palestin di Tebing Barat untuk melindungi masjid mereka terhadap serangan penduduk fanatik Israel dan meminta ulama Muslim untuk mencari strategi bagi melindungi masjid-masjid umat Islam di Palestin.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan kepada Pusat Maklumat Palestin (PIC) pada hari Isnin (4/10), jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum mengutuk serangan pembakaran Israel terhadap  Masjid Al-Anbiya di Betlehem dan menegaskan ianya sebagai kejahatan serius terhadap tempat-tempat suci Islam.(aljazeera/mn/pnn/pic)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts