Masjid Umari Yang Penuh Sejarah

Ketika berada di bumi Gaza, kami bertekad untuk merebut setiap kesempatan bersolat di masjid-masjid yang berbeza supaya meraih sepenuh pengalaman tentang kehidupan masyarakat di Gaza. Solat pertama kami di Gaza adalah waktu Maghrib di Masjid Syuhada’ Al Aqsa, kira-kira 5 minit jarak berjalan kaki dari rumah tempat kami menginap.

Semua ziarah kami ke masjid-masjid di Gaza sangat membekas di hati, baik kerana sejarah perjuangan anak-anak kariahnya mahupun kesungguhan generasi senior mendidik anak-anak muda dengan Al-Quran. “Tujuh orang anak kariah kami telah syahid!” sebut Ziad Muhamed Anam, pengerusi dakwah Masjid Abu Qadrah. Manakala papan tanda Masjid Umari di bandar Jabaliya terpapar nama-nama para syuhada’ mereka, lengkap dengan tarikh setiap mereka jatuh syahid. Kami juga sangat teruja melihat anak-anak muda terus bersama-sama kekal di Masjid As Susi seusai solat Subuh untuk mengadakan halaqah Al-Quran.

Masjid Umari yang terletak di tengah kesibukan Gaza City merupakan tempat pertama kami menunaikan solat Jumaat di Gaza. Secara rasminya, masjid yang tertua dan terbesar di Gaza City ini diberi nama Jāmi’ Ghazza al-Kabīr (Masjid Agung Gaza) tetapi ia lebih popular dengan nama Jāmi’ al-ʿUmarī al-Kabīr (Masjid Agung ‘Umari.) Jelas sekali masjid ini penuh dengan sejarah peradaban.

Di sinilah kami buat pertama kali melihat susuk tubuh seorang tokoh yang dikagumi – Al-Hafizh Ustaz Ismail Haniyeh yang pada hari itu bukan sahaja turun sebagai seorang Perdana Menteri, bahkan juga sebagai seorang khatib membaca khutbah Jumaat, seorang imam yang memimpin solah Jumaat dan juga seorang siak yang mengumumkan kehadiran kami kepada para jamaah. Di situlah juga kami diberi peluang untuk bersalaman dan berpelukan ukhuwwah dengan beliau, sedang puluhan rakyat Gaza sendiri berpusuan untuk bersalaman dengan beliau.

Masjid Umari yang pintu masuk utamanya di Jalan Umar Mukhtar ini dinamakan sedemikian sempena pahlawan dan Khalifah ‘Umar bin Khattab RA yang telah singgah di tempat ini untuk bersolat, seterusnya menukar gereja sepi Romawi Byzantium yang sudah berusia 200 tahun itu menjadi masjid. Waktu itu Khalifah ‘Umar sedang dalam perjalanan menuju ke Masjid Al Aqsa yang baru dibebaskan para panglima Islam, kira-kira 70 kilometer dari utara Gaza.

Menurut sejarah, sebelum diubah menjadi masjid bangunan yang indah ini adalah merupakan tempat ibadah kaum Majusi, penyembah api dan matahari. Masih utuh di situ satu tingkap kaca berwarna yang menjadi identiti gereja kuno. Dari tingkap itulah cahaya matahari masuk ke arah altar di mana kaum Majusi menyembah matahari.

Secara terperinci, berikut adalah rentetan utama sejarah masjid yang indah ini:

  • Dibina buat pertama kali oleh kaum Majusi, tetapi tidak jelas keterangan waktunya,
  • Dibina semula oleh Romawi Byzantium menjadi gereja lebih dari 500 tahun sesudah Nabi ‘Isa AS,
  • Diubah menjadi masjid oleh Khalifah ‘Umar bin Khattab ketika membebaskan Palestin dan bumi Syam pada abad ke-7,
  • Dilanda gempabumi yang menyebabkan ruhtuh menara masjid pada tahun 1033,
  • Dirampas oleh Tentera Salib dan diubah menjadi gereja dengan nama Katedral John the Baptist pada tahun 1149,
  • Dibebaskan kembali menjadi masjid oleh Salahuddin Al-Ayyubi ketika baginda membebaskan Masjid Al Aqsa tahun 1187,
  • Dibina kembali oleh Dinasti Mamluk pada abad ke-13,
  • Dihancurkan oleh tentera Mongol pada tahun 1260, tetapi kemudiannya dibina kembali,
  • Hancur sekali lagi akibat gempabumi yang terjadi di akhir abad ke-13,
  • Sekitar 300 tahun kemudian Khilafah Utsmaniyah Turki membinanya kembali,
  • Rosak akibat hujan bom yang diserang oleh armada British ketika Perang Dunia Pertama, dan
  • Dipulihkan oleh Majlis Tinggi Muslimin Palestin pada tahun 1925.

Di ruang mengambil wudhu tertera indah tulisan Al-Wudhu shilahul Mu’min – Wudhu itu senjata bagi orang Mukmin – ungkapan sebuah hadis yang menjadi pegangan dan amalan kuat mereka di sini. Bahkan inilah juga perkara yang sering diperingatkan oleh rakan-rakan kami dari Gaza sepanjang pergaulan dengan kami.

Setiap kali selesai solat maghrib berjama’ah, anak-anak muda dan remaja di Masjid Umari ini akan kekal disitu untuk mengikuti halaqah belajar membaca, memahami dan menghafal Al-Quran.

Semoga pengajaran dari masjid besar ini menjadi amalan setiap kami yang hanya sempat berkunjung buat seketika sahaja.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts