Memperingati 80 Tahun Syahidnya Mujahid Izzuddin Al-Qassam

GAZA, 20 Nov 2015 (PIP) — Sudah 80 tahun berlalu detik syahidnya mujahid legenda Izzuddin Al-Qassam, beliau tetap hidup dalam hati nurani umat Islam khususnya di dunia Arab. Beliau telah menanamkan kecintaan kepada jihad di bumi para Anbiyak, melawan penjajah dalam jiwa generasi Palestin. Warisan semangat itu tetap membara dan memberikan inspirasi kepada generasi muda dalam menghadapi kejahatan penjajah.

Peringatan syahidnya As-Syahid Izzudin Al-Qassam pada 20 November, bertepatan dengan berlanjutannya aksi perlawanan menghadapi penjajah Zionis dalam Intifadhah Al-Quds yang kini sudah memasuki hari ke-50 tanpa henti sebagai penegasan bahawa bangsa Palestin tetap berpegang pada janji revolusi Al-Qassam dalam melawan penjajah, samada penjajah British atau rejim Zionis.

Al-Qassam adalah salah satu pimpinan pejuang melawan penjajah British di Palestin. Semangat jihadnya tertanam sejak kecil, ketika masih belajar dan menghafal Al-Quran. Beliau terdidik dalam keluarga yang sangat komited dengan agama, yang terkenal sebagai orang yang sangat peka dengan dengan ilmu syariah.

Populariti Izzuddin Al-Qassam yang tinggi di kalangan warga Palestin mempermudah usaha untuk mengerahkan barisan pejuang berjihad menentang penjajah. Kesyahidannya menjadi bara api yang menyalakan revolusi Palestin tahun 1936. Selanjutnya, beliau menjadi simbol jihad dan melawan penjajah hingga ke saat ini.

Siapakah Izzuddin Al-Qassam?

Beliau adalah Muhammad Izzuddin bin Abdul Qadir Al-Qassam, seorang ulamak, pendakwah, mujahid dan komandan yang terkenal dengan nama Izzuddin Al-Qassam. Dilahirkan di perkampungan Jablah, di selatan Lataqiah, Syria pada tahun 1882, beliau terdidik dalam keluarga beragama yang dikenal sangat peduli dengan ilmu syariah.

Pada tahun 1896 ketika berusia 16 tahun, Al-Qassam belajar di Universiti Al-Azhar di Kaherah dan tamat pengajian pada tahun 1906, dan kembali ke kampung halamannya pada usia 25 tahun. Beliau kemudiannya menjadi guru dan khatib di Masjid Ibrahim bin Adham.

Ketika Perancis menjajah Syria di akhir Perang Dunia Pertama pada tahun 1918, Al-Qassam bersama murid-muridnya bangkit melawan penjajah Perancis ini. Al-Qassam menjadi buruan Perancis.

Al-Qassam dan Politik

Selain daripada kesungguhan beliau di dalam kerja dakwah dan jihad, Al-Qassam juga bergiat dalam bidang politik. Setelah kembali ke Jablah, beliau menjadi pengganti ayahnya dalam mendidik hafalan Al-Quran dan menjadi imam masjid Manshuri.

Beliau memimpin demonstrasi tunjuk perasaan yang pertama mendukung bangsa Libya melawan penjajah Itali. Beliau juga mengumpul dana solidariti untuk bangsa Libya. Bahkan Al-Qassam dihukum mati kerana peranan beliau dalam membantu komandan Umar Baithari dalam revolusi Jabal Zion dari tahun 1919 hingga 1920.

Perjalanan ke Palestin

Setelah Syria dijajah oleh Perancis tahun 1920, Al-Qassam pergi ke Palestin dan tinggal di kota Haifa. Beliau menjadi imam dan khatib di Masjid Al-Istiqlal, di samping memimpin pertubuhan pemuda Islam. Dia kemudian membentuk sebuah organisasi bawah tanah yang dikenali sebagai “Kelompok Al-Qassam”.

Syeikh Al-Qassam berusaha memerangi buta huruf yang dialami oleh petani di sana, sehingga popularitinya di kalangan petani dan masyarakat awam sangat baik sekali.

Dalam khutbah beliau, Sheikh Al-Qassam mengajarkan bahawa jika umat Islam tidak membantu diri mereka sendiri, tidak ada orang lain yang akan membantu mereka, dan umat Islam harus menguatkan diri dalam kesempatan apa sekalipun.

Pada tahun 1926, Al-Qassam memimpin Persatuan Pemuda Islam dan melawan penjajah British. Dia juga melawan gejala meluasnya pengaruh gerakan zionis di Palestin. Beliau menempuh jalan memikul senjata sebagai salah satu penyelesaian bagi mengakhiri penjajah British yang menjadi asas berdirinya entiti Zionis di Palestin.

Bagi Sheikh Al-Qassam, kesatuan sejati hanya dapat direalisasi di bawah bendera Islam. “Tanpa Islam, kita hanyalah bangsa terpisah-pisah, masing-masing sibuk dengan kesedarannya yang sempit,” kata beliau. Beliau bahkan menolak konsep nasionalisma yang tertakluk kepada wilayah atau negeri tertentu. “Di mana sekalipun pun nama Allah diseru, ia adalah negara saya.”

Pada tahun 1935, penjajah British menekan gerakan Al-Qassam di Haifa. Dia pun berpindah ke perkampungan yang dikenal oleh penduduk sebagai penghulu syariat dan khatib yang berkeliling kampung dan mengajak penduduk melawan British. Al-Qassam mulai melakukan aksi perlawanan bersenjata di Jenin.

Perjuangan Bersenjata

Al-Qassam bersama rakan-rakannya membentuk kumpulan rahsia secara berstruktur dan rapi. Ada kumpulan khusus dakwah untuk jihad, kumpulan komunikasi politik, kumpulan perisikan, kumpulan pelatihan ketenteraan, dan pada masa yang sama beliau menghimpun dana untuk membeli senjata. Sheikh Al-Qassam sangat bersemangat dalam menjalankan segala kerjanya dengan rapi.

Beliau mendeklarasikan revolusi setelah tembok Al-Barraq di Masjid Al-Aqsa dikuasai penjajah pada tahun 1929. Sejak itu, dia mengirim kadernya ke perkampungan dan wilayah pendalaman untuk memobilisasi jihad dan revolusi melawan penjajah. Rakyat Palestin menyambut seruan ini.

Izzuddin Al-Qassam Gugur Syahid

Penjajah British mengetahui tempat persembunyian Izzudin Al-Qassam di perkampungan Barud pada 15 November 1935. Namun beliau berhasil melarikan diri bersama 15 kadernya ke perkampungan Syekh Zayed tetapi masih diburu oleh British selama empat hari. Pada 18 Oktober 1935, Al-Qassam bersama pengikutnya meninggalkan bukit Kafr Qoud dan berjalan ke arah kampung Syeikh Zaid dekat perkampungan Yabod.

Pada 19 November 1935, Al-Qassam mengalami masalah untu bergerak. Mata-mata dan pasukan perisik datang dalam kumpulan yang besar ke Jenin dan memasuki kalangan penduduk dengan mengenakan pakaian petani dan buruh.

Pasukan British mengepung Syeikh Al-Qassam dan memutuskan hubungan dengan perkampungan sekitarnya. Mereka meminta beliau supaya menyerah diri, namun Al-Qassam menolak. Maka beliau pun terlibat dalam kejadian tembak-menembak dengan pasukan British, yang mengorbankan 15 pengikutnya. Dalam waktu enam jam pertempuran, Syekh Izzuddin Al-Qassam gugur syahid bersama sebahagian pengikutnya pada 20 November. Sebahagian yang lain mengalami kecederaan.

Gugurnya Al-Qassam memberi pengaruh besar dalam revolusi Palestin di tahun 1936 dan menjadi titik tolak dalam perjalanan gerakan kebangsaan Palestin.

Pengalaman Izzuddin Al-Qassam adalah sangat besar dan memberikan inspirasi kepada pejuang dan revolusi Palestin di era seterusnya. Sehinggakan gerakan Hamas memutuskan untuk menamakan sayap tenteranya pada tahun 1991 dengan nama Briged Izzuddin Al-Qassam, sebagai ungkapan kesetiaan pada prinsip perjuangan melawan penjajah Zionis.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts