Mesir Mula Bina Zon Penimbal Di Sempadan Gaza

RAFAH, 19 Okt 2014 (AFP) — Mesir memulakan kerja pembinaan satu zon penimbal di sepanjang sempadan Gaza semalam, berikutan beberapa kejadian serangan di wilayah Sinai kebelakangan ini.

Tindakan kerajaan Mesir itu akan melibatkan pemusnahan sekitar 800 buah rumah penduduk untuk mengosongkan kawasan selebar 500 meter di sepanjang 6.2km sempadan Gaza.

Puluhan keluarga yang tinggal di Rafah dilaporkan berpindah keluar dari kawasan tersebut dengan membawa bersama kelengkapan rumah mereka menggunakan lori. Jentolak telah memulakan kerja merobohkan rumah-rumah yang ditinggalkan di sepanjang sempadan.

Zon penimbal tersebut di bina atas alasan untuk menangani masalah serangan militan di kawasan sempadan dan Sinai. Namun penganalisa masih curiga dengan tindakan Mesir ini kerana kebanyakan serangan berlaku di Sinai dan bukan di kawasan sempadan.

Sejak tentera Mesir menjatuhkan Presiden Muhammad Morsi, lebih 1,600 terowong bawah tanah telah dimusnahkan di sempadan Rafah. Mesir mendakwa bahawa senjata militan Mesir dibawa masuk dari Gaza melalui terowong-terowong tersebut.

Berikutan serangan terbaharu pada hari Jumaat lalu, Mesir telah mengisytiharkan pemerintahan darurat di utara Sinai untuk tempoh selama tiga bulan. Kerajaan pimpinan Abdel Fatah al-Sisi itu juga bertindak menutup pintu di lintasan Rafah, satu-satunya pintu masuk Gaza yang tidak dikawal oleh rejim Zionis.

Penduduk Gaza disekat dari dunia luar sejak tahun 2006 oleh rejim Zionis dan sekutunya.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts