Modi rasmikan pembinaan kuil di atas tapak masjid Babri

UTTAR PRADESH, 4 Ogos 2020 — Perdana Menteri India yang juga pemimpin ultra nasionalis Hindu, Narendra Modi, hari ini menghadiri upacara pecah tanah dan meletak batu asas bagi pembinaan kuil di atas tapak runtuhan Masjid Babri di utara kota Ayodhya.

Masjid Babri dimusnahkan susulan rusuhan puak pelampau Hindu Karsevaks pada tahun 1992, yang telah mengorbankan hampir 2,000 nyawa. Ia dibina pada tahun 1528 pada zaman pemerintahan Mogul. Umat Islam bersolat di situ sehingga Disember 1949 apabila pelampau Hindu mula membina dan memuja patung Dewa Ram di dalamnya.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi India memutuskan tanah terbabit sebagai milik penganut Hindu, sekaligus membatalkan keputusan mahkamah pada tahun 2010 supaya tanah tersebut dibahagikan antara penganut Hindu dan Islam. Sebidang tanah di kawasan lain di Ayodhya diperuntukkan bagi pembinaan masjid.

Pembinaan kuil tersebut dikatakan sebagai menghormati Dewa Ram, yang dipercayai dilahirkan di situ. Bagaimanapun kepercayaan tersebut dipertikai banyak pihak, yang percaya ia hanyalah satu helah politik.

Antara lain, sejarawan India mendiang Sarvepalli Gopal pernah mendakwa kesan penempatan di Ayodhya hanya dapat dijejaki sehingga 2,800 tahun lalu, sedangkan kisah Dewa Ram dalam kepercayaan Hindu bermula jauh lebih awal iaitu sekitar 5,000 tahun lalu. Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli, pula mendakwa tempat kelahiran sebenar Dewa Ram adalah di perkampungan kecil Ayodhya yang terletak di barat Birgunj, selatan Nepal.

Dalam upacara yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV India itu, Modi meletak batu bata simbolik berupa jongkong perak seberat 40kg dan melakukan ritual sebagai memulakan projek pembinaan bangunan kuil setinggi tiga tingkat.

(New Arab)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts