Mohamed al-Qeiq enggan henti mogok lapar sehingga dibebaskan

RAMALLAH, 31 Jan 2016 (Maan) — Jurnalis Mohamed al-Qeiq petang tadi menegaskan bahawa beliau menolak sebarang tawaran dari pihak rejim Zionis supaya beliau menghentikan mogok lapar yang kini sudah berterusan selama 68 hari.

Peguamnya, Ashraf Abu Snina, selepas menziarahi Muhamed di Hospital HaEmek di Afula menjelaskan bahawa anak guamnya itu kini tidak lagi mampu untuk bertutur, dan kehilangan 50% penderiaan dengar. Beliau tidak mampu sama sekali untuk berjalan, serta mengalami radang mata.

“Saya terpaksa bercakap kepada beliau dengan suara yang tinggi, supaya dia dapat mendengar,” kata Ashraf, bertanyakan samada anak guamnya itu mahu menerima tawaran rejim Zionis supaya menghentikan mogok lapar bagi membebaskan beliau dengan syarat-syarat tertentu.

Muhamed menjawab dengan secebis kertas, bahawa beliau tidak sekali-kali akan berhenti mogok lapar kecuali jika dipindahkan segera dari Hospital HaEmek ke hospital di Ramallah.

Muhamed, 33 tahun, melancar mogok lapar sejak 68 hari lalu sebagai membantah tindakan rejim penjajah menahan beliau di bawah tahanan pentadbiran tanpa sebarang pendakwaan mahupun pegadilan. Beliau kini ditahan di Hospital HaEmek sejak kesihatannya semakin merosot, dalam keadaan kaki dan tangannya digari ke katil dan seramai tujuh askar Zionis bersenjata mengawal beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, siasatan Amnesty International mendapati bahawa Muhamed didera ketika soal-siasat sejurus selepas ditangkap.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts