AL-QUDS, 21 Sep 2015 (PIC) — Pihak berkuasa Zionis yang mengawal urusan perbandaran di Al-Quds semalam telah bersetuju untuk menukar nama jalan-jalan di Kota Lama dan kawasan timur Al-Quds kepada nama-nama Ibrani yang mempunyai konotasi kitab Taurat. Langkah ini diambil bagi mengukuhkan lagi usaha yahudisasi ke atas kota tersebut dengan menerapkan ciri-ciri Yahudi secara paksa dan membohongi fakta sejarah.
Di antara perkara yang telah dipersetujui adalah untuk menggantikan “Jabal Zaitun” menjadi “Har Hamshahah”, iaitu nama yang disebut dalam Taurat bagi merujuk kepada bukit yang paling tinggi di Al-Quds.
Nama untuk sebuah perkampungan Palestin di Silwan akan digantikan dengan panggilan “Cher Hamaalot”. Nama tersebut terdapat di dalam Taurat dengan merujuk kepadanya sebagai jalan menuju ke sinagog, yang konotasi agamanya adalah jalan menuju ke Masjid Al-Aqsa. Sungguhpun pihak berkuasa masih belum menyatakan kampung tertentu yang akan menggunakan nama tersebut, namun ia merujuk kepada kampung Bustan, yang paling dekat menuju Masjid Al-Aqsa.
Langkah yang dipersetujui oleh pihak Zionis ini merupakan penodaan ke atas undang-undang antarabangsa yang melarang perubahan ke atas nama jalan-jalan di wilayah yang dijajah. Ianya adalah sebahagian daripada usaha Datuk Bandar, Neir Barakat, untuk melakukan yahudisasi ke atas kota Al-Quds dan menghapuskan sebarang kesan atau warisan Arab dengan cara meletakkan sifat yang berkait dengan agama mereka dalam nama-nama jalan dan perkampungan. Mereka juga mengubah rekabentuk pagar serta mengukir ungkapan-ungkapan Yahudi di rumah-rumah penduduk Palestin yang telah dirampas oleh pendatang Yahudi.
Pihak pemerintah Palestin dijangka membuat aduan kepada UNESCO dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, setelah sehingga ke hari ini sebanyak 300 nama jalan dan lorong di Al-Quds telah ditukar.