Netanyahu desak sekutunya tidak jatuhkan rejim

LONDON, 18 Nov 2018 — Pemimpin rejim Zionis, Benjamin Netanyahu, mendesak parti-parti sekutu pemerintahannya tidak menjatuhkan pemerintahan susulan krisis politik selepas serangan ke atas Gaza minggu lalu.

Dengan mengutarakan isu cabaran keselamatan masakini serta tindakan ketenteraan ke atas musuh di masa akan datang, Netanyahu cuba menyelamatkan pentadbirannya setelah Menteri Perang Avigdor Lieberman meletak jawatan.

Penganalisa politik meramal pilihanraya yang dijadualkan pada bulan November tahun depan akan diadakan lebih awal iaitu pada bulan Mac.

Netanyahu yang memimpin Parti Likud berkata beliau telah berunding dengan semua pemimpin parti-parti sekutunya. Kenyataan yang disiarkan melalui televisyen itu mendesak semua pemimpin supaya bertanggungjawab, lebih-lebih lagi dalam keadaan isu keselamatan yang sangat sensitif ketika ini.

Terdahulu, Netanyahu telah bertemu Menteri Kewangan yang mewakili Parti Kulanu, Moshe Kahlon, selepas beliau mendesak supaya pilihanraya diadakan lebih awal. Kahlon semalam menyebut “kerajaan dengan hanya satu kerusi majoriti tidak akan bertahan”.

Netanyahu mengambil alih sendiri tugas Menteri Perang, selepas menolak desakan pemimpin Parti HaBayit HaYehudi (Tanahair Yahudi), Naftali Bennett, supaya jawatan tersebut diserahkan kepada beliau.

Sebelum ucapan Natanyahu disiarkan, Bennett yang kini menjawat Menteri Pendidikan bersama seorang lagi menteri yang mewakili HaBayit HaYehudi dikatakan akan meletak jawatan pada hari Isnin, sekaligus mengugurkan majoriti kerusi pemerintahan.

(MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts