Palestin: Jalan Panjang Menuju Pembebasan

Apabila menghampiri genap setahun serangan 7 Oktober, Israel mengalihkan tumpuan ke Lubnan. Berbeza dengan serangan ganas terhadap Gaza yang dibantah oleh ramai tokoh-tokoh politik dan rakyat Israel, serangan terhadap Lubnan disokong oleh majoriti mereka termasuk ketua pembangkang.

Jika dianggap kejayaan, maka Israel berjaya membunuh Syed Hasan Nasrullah di Lubnan bersama pemimpin kanan yang lain, serta berjaya membunuh Ismail Haniyeh di Tehran. Manakala di Gaza yang telah diduduki sepenuhnya Israel hampir setahun, tidak kedengaran seorang pun pemimpin kanan Hamas berjaya dibunuh mereka walaupun beberapa kali mengisytiharkan kematian Yahya Sinwar dan Mohamad Deif. Tetapi gagal.

Iran diheret sama dalam perang bermula di Gaza melalui beberapa serangan yang membunuh pemimpin kanan tentera Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dan kebanyakannya serangan yang berlaku di Syria. Seterusnya Israel meletupkan kedutaan Iran di Syria dan membunuh Haniyeh di bumi Iran.

Asas serangan Israel ialah, Iran aktif memindahkan senjatanya melalui jalan darat dan udara ke Syria dan seterusnya ke Lubnan untuk digunakan Hizbullah. Jalan darat dari Iran melalui Iraq dan terus ke Syria. Manakala laluan udara pula Iran ke Aleppo atau Damsyik di Syria. Setahun ini, lebih 5 kali kedua dua lapangan terbang di Syria itu diletupkan Israel.

Disebalik tujuan Israel untuk menghalang senjata sampai ke Syria dan Lubnan, ia juga bertujuan memprovokasi Iran untuk terlibat secara langsung dalam perang tersebut dan tidak hanya menggunakan proksi yang dimaksudkan Houthi di Yaman, Kataib Hizbullah di Iraq, Hizbullah di Lubnan dan Jihad Islami dan Hamas di Gaza, Syria dan Lubnan.

Tujuannya ialah, apabila Iran terlibat secara langsung, maka Amerika dan sekutu Baratnya secara khususnya Britain, Jerman dan Itali akan turut serta. Maka jadilah perang besar yang Israel tidak lagi bersendirian. Ini satu keperluan buat Netanyahu yang bergantung hayat politiknya dengan perang yang gagal dalam misi setahunnya di Gaza. Misi untuk membawa balik tawanan dan menghapuskan Hamas, gagal segagal gagalnya.

Dalam masa yang sama, Israel merasakan, inilah masa terbaik untuk mereka setidaknya melemahkan kekuatan persenjataan Iran kalaupun tidak terus menjatuhkan pemerintahan Syed Ali Khamenei dengan mengajak kuasa Barat turut serta dalam peperangan tersebut. Ia jelas misi peribadi dan misi berpanjangan Israel dalam perang tersebut yang tidak hanya berkisar Gaza atau Hamas semata mata.

Tetapi bagaimana sikap mereka yang hendak dilibatkan? Iran, negara negara Arab, Eropah dan Amerika.

Iran

Sememangnya selepas Revolusi Islam Iran yang menjatuhkan pemerintahan Shah Reza Pahlavi 1979, Khomainie (insan berbeza dengan Ali Khamanei) mengistiharkan putus hubungan dengan Israel dan tidak mengiktiraf kewujudan Israel. Sebelumnya Iran adalah sekutu Israel di Timur Tengah bersama Turki yang merupakan dua negara bukan Arab yang mengiktiraf Israel sejak 1950.

Namun terputusnya hubungan dengan Israel bersekali dengan putusnya hubungan dengan Amerika yang menjadi sekutu dan pelindung kepada Rejim Shah Reza Pahlavi sebelumnya. Amerika menggunakan Saddam Hussin untuk memerangi Iran seawal pasca revolusi menjadi Perang Iraq-Iran selama 8 tahun. Berikutnya Saddam pula dijatuhkan apabila tidak lagi menurut kehendak AS dan memusuhi Israel.

Iran yang kaya dengan minyak dan gas dikenakan sekatan ekonomi selama 4 dekad oleh Amerika. Ia memberi impak kepada ekonomi negara dan sekaligus rakyat Iran. Jiran mereka yang mempunyai simpanan minyak lebih sedikit berbanding Iran pesat membangun seperti di UAE, Qatar dan Oman. Tetapi tidak bagi Iran yang hanya boleh menjual minyaknya di pasaran gelap dan pastinya dengan harga yang murah.

Tempoh 45 tahun berdepan sekatan tidak mudah untuk menyatakan sabar kepada rakyat yang berhadapan kemelut ekonomi. Generasi muda yang lahir pasca revolusi 1979 tidak sempat melihat era sebelumnya kini sebahagiannya mula menunjukkan sikap berseberangan. Samada mereka berhijrah ke luar negara atau kekal dalam negara dan mempamerkan sikap.

Peratusan keluar mengundi di Iran merosot dengan teruk berbanding era sebelumnya. Daripada 67 peratus keluar mengundi dalam Pilihanraya Presiden 1980 naik kepada 80 peratus di tahun 1997 dan kemuncaknya 85 peratus di tahun 2009. Semuanya berkait harapan. Iran akan kuat dan membangun pesat. Tetapi kini merosot teruk kepada 49 peratus dalam pilihanraya 2021 dan hanya 40 peratus dalam pilihanraya Presiden terkini 2024.

Angka mentafsirkan sikap rakyat. Bukan himpunan yang walaupun mencecah sejuta manusia, tidak menjawab sikap sebenar 88 juta rakyat atau sekitar 50 juta pengundi. Maka isu asasnya ialah ekonomi atau pembangunan. Berhadapan dengan kemelut tersebut, maka tidak pelik majoriti daripada 40 peratus yang keluar mengundi memilih Masoud Pezeskhian yang dianggap mewakili kelompok reformis sebagai Presiden baru Iran kerana janjinya untuk merundingkan dengan Barat agar sekatan ekonomi terhadap Iran dicabut.

Pemimpin Iran amat memahami hal tersebut dan mereka sesekali tidak mahu termasuk ke dalam perangkap Israel. Memang Iran terbukti berjaya meningkatkan persenjataannya secara khususnya teknologi misil dan drone yang kalaupun tidak lebih baik daripada kuasa-kuasa besar, tetapi berdiri sebaris dengan mereka. Jika tidak, bagaimana China dan Russia juga diberitakan membeli misil dan drone ciptaan Iran tersebut.

Tetapi persenjataan tidak menjawab segala-galanya tetapi ia bersekali dengan perkembangan ekonomi dan penguasaan teknologi. Ekonomi antaranya penting agar rakyat setia bersama negara dan kerajaan. Manakala dalam hal teknologi yang boleh jadi ramai menganggap ianya kecil iaitu berkait komunikasi.

Tetapi apabila Is ra el berjaya meletupkan serentak lebih 2000 pager iaitu alat komunikasi digunakan Hizbul lah dalam masa satu hari, maka ia menggambarkan penguasaan teknologi di satu pihak dan kurangnya dipihak yang lain.

Dengan makna, kekuatan misil atau senjata nuklear sekalipun, tidak menjanjikan penguasaan mudah dalam peperangan. Maka Iran amat memahami hal tersebut. Jika tidak, bagaimana dengan kawalan ketat, persenjataan hebat, tetapi kerap kali agen Israel boleh menerobos ruang Iran dalam banyak kes pembunuhan termasuk pembunuhan Ketua Saintis Iran 2020, Jeneral Qasim Sulaimani 2020 (di Iraq dalam wilayah ada pengaruh dan kekuasaan pro Iran) dan terbaru Ismail Haniyeh 2024. Kesemuanya dikaitkan dengan adanya warganegara yang tidak setia dan bekerjasama dengan lawan.

Maka apabila Iran melakukan serangan balas iaitu April 2024 dan September 2024, kedua-duanya ‘tidak’ menterjemahkan kehendak negara tersebut untuk berperang dengan skala penuh. Serangan April dimaklumkan awal kepada negara jiran dan Amerika sendiri dan berlaku dalam tiga tahap iaitu serangan drone, cruise missile dan balistik missile. Kata Menteri Luar Iran yang terlibat dalam nahas kemalangan helikopter, ia bertujuan mematuhi undang-undang antarabangsa dan mendedahkan kepada Israel keupayaan mereka.

Menggunakan alasan undang-undang antarabangsa ini jugalah, Iran lebih senang membantu persenjataan dan teknologi ketenteraan terhadap Houthi (Ansarullah), Hamas, Jihad Islami, Hizbullah dan Khataib Hizbullah (Iraq) yang merupakan ‘non state actor’ kerana non state actor tidak tertakluk kepada ICJ dan tidak peduli kepada sebarang sekatan. Memang Amerika menuduh Iran membiayai kumpulan kumpulan tersebut, tetapi sukar membuktikannya secara langsung.

Berbanding Iran secara langsung terlibat peperangan, maka mudah mereka akan dikenakan hukuman berupa sekatan berikutnya yang pastinya menghukum rakyat sekali lagi dalam hal ekonomi. Seterusnya apabila Haniyeh dibunuh di Tehran, ia menjatuhkan air muka Iran. Maka serangan balas mesti dilakukan.

Pemimpin utama UK, Perancis, Jerman, Jordan dan Saudi menghubungi secara langsung Presiden Iran memujuk Iran untuk tidak menyerang balas dengan janji yang ‘pasti’ mereka akan mengusahakan gencatan senjata di Gaza ‘ segera’. Berbanding maruah negara dengan jutaan nyawa yang terancam di Gaza, maka pilihannya ialah menyelamatkan nyawa. Maka tiada serangan dilancarkan sepanjang Ogos.

Namun selepas hampir 2 bulan, tiada sebarang gencatan senjata berlaku sebagaimana dijanjikan, maka Iran melancarkan 180 balistik misil ke Israel dan ditumpukan kepada 3 lokasi utama iaitu dua Kem Tentera Udara Israel di Navatem dan Tel Aviv dan sebuah pusat perisikan Israel. Dunia menyaksikan secara langsung di Al Jazeera, BBC, CNN dan semua berita dunia secara live bahawa misil tersebut jatuh tanpa dapat dihalang senjata penangkis milik Israel samada Iron Dome dan lain-lain.

Israel memberi amaran awal kepada rakyatnya agar tidak menyebarkan sebarang rakaman. Sekali lagi Iran mengistiharkan serangan hanya ditumpukan kepada logistik tentera Israel dan tidak kepada orang awam berbeza dengan Israel yang membunuh orang awam.

Seperti biasa Israel mengisytiharkan tiada kematian dan terima kasih kepada Jordan dan Saudi yang turut membantu menghalang senjata Iran. Walaupun dunia menyaksikan senjata Iran melepasi ruang udara Jordan yang terbuka tanpa disekat untuk jatuh ke wilayah Israel. Ia propoganda untuk memecahkan dunia Arab dengan Iran.

Ok. Itu bukan isunya. Tetapi serangan kedua ini juga tidak menunjukkan Iran mahukan peperangan ‘besar’ ketika ‘ini’ melainkan untuk melakukan serangan balas terhadap pembunuhan Haniyeh dan Syed Hasan Nasrullah dan memberi amaran terhadap Israel yang semakin menggila menyerang Beirut. Maka Israel dan Amerika mengetahui kekuatan lawan mereka dan ‘limitation’ yang ada pada sistem pertahanan mereka.

Panjang hendak dicoret, tetapi setidaknya, Iran dan negara-negara Arab tidak menari mengikut kehendak Israel. Seteruk macamana sekalipun kejahatan dan provokasi dilakukan Israel, Iran dan Arab belum termakan umpan mereka. Israel kekal bersendirian menjadi ‘pariah state’ di Asia Barat dan di dunia yang dilihat sebagai penjahat yang huduh yang tiada siapa berkehendakkan untuk berkawan dengan mereka. Hari ke hari ia semakin terpencil.

Tetapi ia tidak habis di sini.

Israel akan kekal melakukan provokasi untuk mengheret Arab, Eropah dan Amerika terlibat serta dalam perang besar diciptanya.

Apa pula sikap kelompok tersebut terutama negara negara Arab, Eropah dan Amerika? Begitu juga China dan Russia?

Kita sambung tulisan berikutnya.

Yang pasti dihujungnya kita akan akan merungkaikan jawapan ke mana sebenarnya keganasan Israel ini akan berakhir yang berkait rapat dengan sikap dan respon kuasa Barat dan kuasa Timur yang akan menentukan bilakah hari hari akhir penjajahan Israel itu akan menemui penamatnya.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts