Pelampau Yahudi serang keluarga Palestin selepas gagal culik bayi di al-Khalil

AL-KHALIL, 2 Ogos 2020 — Segerombolan pelampau dari kalangan pendatang Yahudi menyerang keluarga Palestin selepas gagal menculik cucu mereka di kejiranan Tel Rumeida di kota al-Khail, selatan Tebing Barat, petang semalam.

Kejadian berlaku selepas pendatang Yahudi cuba menculik cucu perempuan aktivis Imad Abu Shamshiya, Rateel Tannina, 17 bulan. Rateel dilaporkan cedera luka-luka dan lebam dalam pergelutan ketika cuba direbut oleh para pendatang.

Susulan kejadian, pasukan tentera Zionis mengiringi dan memberi perlindungan kepada pendatang Yahudi menyerang rumah Imad, di mana tentera kemudian menangkap isterinya Fayza, 44, anak perempuannya Arwa, 17, serta anak lelakinya Awni, 22.

Rumah mangsa terletak berdekatan kawasan penempatan haram Ramat Yeshai, yang dibina di atas tanah penduduk Palestin yang dirampas berdekatan pos sekatan tentera Zionis, Gilbert.

Keluarga Abu Shamshiya serta rumah mereka telah beberapa kali diserang oleh pendatang Yahudi dan tentera Zionis, sebagai membalas dendam dan cuba menghalau mereka meninggalkan tanah tersebut.

Imad dan isterinya adalah sukarelawan pertubuhan hak asasi B’Tselem. Mereka pernah mengeggarkan rejim Zionis dengan merakam video aksi seorang askar Zionis membunuh Abdel Fattah Al-Sharif pada 24 Mac 2016, yang ditembak dari jarak dekat walaupun beliau cedera parah ditembak sebelumnya dan dibiarkan terlantar di atas jalan.

(IMEMC, Palinfo)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts