Pendakwaraya desak mahkamah Zionis tetapkan laungan takbir di Masjid Al-Aqsa sebagai satu kesalahan jenayah

AL-QUDS, 28 Dis 2015 (PIC) — Pejabat pendakwaraya Zionis mendesak sebuah mahkamah di Al-Quds supaya mengharamkan laungan takbir Allahu Akbar di dalam Masjid Al-Aqsa. Melaungkan takbir di dalam masjid kiblat pertama umat Islam itu akan menjadi satu kesalahan jenayah.

Desakan tersebut dibuat setelah polis Zionis menangkap seorang pemuda Palestin yang berasal dari wilayah Palestin 1948 yang terjajah atas dakwaan melaungkan takbir Allahu Akbar ketika segerombolan pendatang Yahudi menceroboh masuk dan berarak di perkarangan masjid suci umat Islam itu. Pihak polis penjajah Zionis mendakwa laungan takbir atau slogan keagamaan boleh menimbulkan rusuhan di Masjid Al-Aqsa.

Peguam Palestin Ramzi Katilat menyifatkan langkah rejim Zionis itu sebagai satu preseden yang merbahaya, kerana tangkapan yang dibuat di dalam kawasan masjid sebelum ini tidak dianggap sebagai satu jenayah, dan hanya melibatkan proses soal siasat ke atas mereka yang ditahan melakukannya, kemudian dibebaskan atau diharamkan memasuki kawasan masjid untuk tempoh tertentu.

Ramzi mengesahkan bahawa beliau bersama rakan peguam lain akan memfailkan satu petisyen di mahkamah yang sama untuk menjelaskan bahawa laungan takbir di dalam masjid merupakan sebahagian daripada hak kebebasan dalam beragama dan bersuara, di mana desakan pihak pendakwaraya adalah menyalahi hak-hak universal tersebut.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts