Pendatang Yahudi Halang Keluarga Palestin Masuk Rumah

AL-QUDS, 29 Okt 2015 (Maan) — Pendatang Yahudi menghalang sekeluarga Palestin daripada memasuki rumah mereka sendiri di Batan al-Hawa di kawasan Silwan di Al-Quds Timur.

Pusat Maklumat Wadi Hilweh menyatakan para pendatang yang tinggal di kawasan tersebut menghalang Rania Abu Nab bersama empat anaknya yang berumur dari empat hingga 14 tahun memasuki rumah mereka, sebelum polis tiba dan menyokong tindakan pendatang.

Rania dilaporkan keluar dari rumah untuk berjumpa dengan pegawai UNRWA, yang dihalang menziarahi rumahnya oleh pendatang Yahudi. Apbila beliau pulang ke rumah, pintu pagar masuk utama perkarangan rumahnya terkunci dan pendatang Yahudi tidak membenarkannya masuk. Suaminya, Nawad, turut dihalang memasuki rumah.

Rumah mereka terletak di kawasan di mana beberapa buah rumah telah dirampas dan diduduki oleh orang Yahudi.

Laporan pertubuhan hak asasi Peace Now menyatakan bilangan pendatang Yahudi di kawasan Batan al-Hawa kini berganda, di mana insiden merampas sebuah apartmen pada bulan ini telah menjadikan bilangan mereka dari 10 kepada 35 buah keluarga.

Sekitar 200 orang pendatang tinggal di Silwan, di tengah-tengah 45,000 penduduk asal Palestin. Kehadiran pendatang Yahudi di sini bertujuan untuk menjadikan mereka sebagai penduduk majoriti di kota tersebut.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts