Pendatang Yahudi Kawal Tindakan Tentera Dan Polis Ke Atas Penduduk Palestin

AL-KHALIL, 11 Okt 2015 (ISM) — Malam tadi, pendatang Yahudi yang dilindungi oleh tentera Zionis menganggu dan secara ganas menyerang keluarga dan aktivis Palestin di Al-Khalil.

Sekumpulan tentera menceroboh naik ke atas bumbung sebuah bangunan tadika bersebelahan sekolah Qurtuba dan mula mengganggu keluarga yang tinggal di sekitarnya. Pada masa yang sama, sekumpulan besar pendatang Yahudi yang memakai topeng berkumpul di sekatan pemeriksaan 55, bersebelahan penempatan haram Beit Hadassah. Beberapa keluarga Palestin yang sedang berada di bumbung rumah mereka memerhatikan kelakuan tentera Zionis dan pendatang Yahudi, menunggu kemungkinan akan berlakunya serangan ke atas penduduk Palestin di situ.

Kawasan kejiranan di Al-Khalil menyaksikan peningkatan mendadak dalam serangan ganas pendatang Yahudi sejak beberapa hari kebelakangan ini, sehingga menimbulkan kebimbangan yang akhirnya memaksa mereka berjaga di atas bumbung rumah untuk bersiap siaga terhadap sebarang serangan.

Tentera yang berada di bumbung bangunan mula menjerit kepada keluarga-keluarga Palestin, mengarahkan supaya pulang masuk ke dalam rumah sungguhpun mereka berada di atas bumbung rumah sendiri – sedangkan tentera tersebut menceroboh bumbung bangunan milik penduduk.

Apabila penduduk mula merakam tindakan mereka mengganggu penduduk, tentera mula mengacukan senjata dan lampu suluh ke arah ahli keluarga, sekalipun anak kecil, dan terus menjerit supaya mereka beredar masuk ke dalam rumah. Mereka terus berkelakuan seperti itu selama lebih satu jam.

Pada malam itu juga, sekumpulan kira-kira 50 orang pendatang Yahudi yang lengkap membawa senjata mesingan, mengepung rumah milik kumpulan aktivis tempatan, Youth Against Settlement, dan membaling batu. Tentera Zionis yang tiba kemudiannya mula menceroboh masuk rumah tersebut, menggeledah setiap bilik dan memaksa semua penghuni masuk ke dalam satu bilik. Kemudian seorang demi seorang dibawa keluar dari bilik tersebut, untuk “ditontonkan” kepada sekumpulan pendatang Yahudi.

Seorang pendatang wanita Yahudi kemudiannya menarik salah seorang pemuda dari kumpulan penghuni rumah tersebut dan menuduh beliau telah menyerangnya. Tentera tangkas menangkap pemuda tersebut dan membawa beliau ke sebuah stesen polis di kawasan penempatan haram Kiryat Arba, di mana beliau telah ditahan selama tiga jam sebelum dibebaskan.

Walaupun pendatang wanita tersebut menuduh pemuda Palestin itu menyerangnya, beliau tidak pernah membuat sebarang laporan polis tentang insiden serangan tersebut. Oleh itu, pemuda Palestin tersebut terpaksa dilepaskan.

Jelas sekali, tuduhan tersebut adalah palsu dan tidak bersandarkan kepada sebarang bukti. Tetapi, pemuda tersebut tetap ditangkap, dengan hanya mendengar tuduhan palsu seorang pendatang Yahudi. Aduan yang dibuat oleh aktivis Youth Against Settlement tentang tindakan pendatang Yahudi membaling batu tidak pernah diendahkan sama sekali oleh pihak polis mahupun tentera Zionis.

Insiden ini memberi satu gambaran bagaimana pendatang Yahudi dapat mengawal dan mempengaruhi sepenuhnya tindakan serta keputusan tentera dan polis Zionis. Tentera dan polis bukan hanya mengikut arahan pendatang Yahudi, tetapi juga membiarkan dan membenarkan tindakan liar mereka menyerang atau membaling batu ke atas penduduk Palestin serta harta mereka.

Serangan pendatang Yahudi menjadi insiden harian di mana penduduk Palestin dipukul, ditangkap dan dibunuh. Yang jelas tentera dan polis Zionis tidak sekali-kali menghormati, apatah lagi melindungi, penduduk Palestin.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts