Pendatang Yahudi rampas tanah Palestin di Nablus

Puluhan pendatang Yahudi berkumpul di satu kawasan tanah milik rakyat Palestin di perkampungan Qaryut di utara Tebing Barat awal pagi semalam (Jumaat, 3 September) dan terus mendakwa hakmilik ke atas kawasan berkenaan. Kehadiran mereka diiringi oleh askar-askar Zionis Israel.

Dengan membawa bersama mereka kelengkapan dan peralatan pertanian dan tangki-tangki air, pendatang-pendatang tersebut mula menanam pohon-pohon zaitun di kawasan seluas 32 ekar itu.

Seorang pegawai Palestin yang bertanggung jawab bagi masalah penempatan, Ghassan Dughlus, berkata bahawa pendatang-pendatang itu berasal daripada penempatan Shilo dan Alieh. Penempatan-penempatan tersebut telah dibina di atas tanah yang turut mereka rampas daripada penduduk kampung Qaryut berdekatan Nablus.

Menurut Dughlus lagi, ketegangan yang berlaku di antara pendatang Yahudi dan pemilik asal tanah berkenaan kini semakin memuncak. Pendatang-pendatang Yahudi sering menyerang penduduk Palestin, termasuklah dengan cara membaling batu ke arah kereta-kereta yang dipandu oleh rakyat Palestin melalui jalan utama berhampiran penempatan Yitzar. Penempatan ini didiami oleh ramai pelampau Yahudi berhaluan kanan.

Pejabat Gabenor Palestin di Nablus telah mengeluarkan arahan supaya rakyat Palestin di daerah berkenaan mengambil langkah lebih berhati-hati memandangkan peningkatan kes serangan oleh puak Yahudi.

Sejak bulan Mei lalu, seramai 14 orang Palestin terbunuh kerana diserang pendatang Yahudi dan juga askar Zionis. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menetapkan bahawa semua penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Bailutmaqdis Timur adalah haram. Lebih 1.5 juta pendatang Yahudi tinggal di kawasan berkenaan. (mn/PNN/IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts