Penderitaan nelayan Gaza – ditembak kali ketiga

GAZA, 24 Okt 2016 (ISM) — Pada 5 September lalu nelayan Gaza Ahmed Mohamed Zaied, 32, turun ke laut bersama rakannya dengan menaiki sebuah bot kecil yang dipanggil “hasaka.” Ketika mereka sedang mencari rezki tidak lebih dari 1.5 batu dari pantai utara Gaza, sebuah kapal tentera Zionis “tarrad” sedang belayar sekitar 3 batu dari pantai.

“Kapal tentera penjajah meluru ke arah kami dan mula melepaskan tembakan, tanpa memberi sebarang amaran. Saya cedera di bahagian tangan kanan dan perut. Saya menjerit kesakitan manakala rakan-rakan cuba lari menyelamatkan kami, bergegas menuju ke daratan. Nasib baik sebuah ambulan ada di situ, saya terus dibawa ke hospital,” cerita Ahmed.

Ahmed dirawat selama sembilan hari, dan kini terpaksa terbaring di atas katil untuk tselama enam bulan. Sejak insiden tersebut beliau tidak dapat meninggalkan katil rawatannya, kecuali untuk berjalan-jalan ringan sebagaimana diarahkan oleh doktor.

Penderitaan nelayan Gaza tidak berakhir dengan polisi tentera Zionis yang “menembak untuk membunuh.” Adiknya yang juga seorang nelayan berkata, “saya dan empat adik-beradik lain semuanya adalah nelayan. Setiap kami pernah memiliki bot masing-masing, tetapi penjajah Zionis merampas tiga daripadanya dua tahun lalu.”

“Mereka menuduh kami menggugat keselamatan mereka. Secara jujur, buat apa saya [mengambil risiko] turut ke laut selain daripada untuk menyara kelaurga saya?,” tanya Ahmed.

Nelayan Gaza hanya bergantung kepada hasil tangkapan sebagai sumber pendapatan mereka. Tetapi tentera Zionis secara berterusan menyerang serta menghalang usaha mereka mencari rezeki. Serangan tentera Zionis kerap berakhir dengan kematian, kecederaan, dan puluhan nelayan ditangkap, di samping kos yang tinggi untuk membaiki bot. Tidak kurang juga bot nelayan dirampas.

“Sekarang adalah musim menangkap ikan. Sepanjang musim ini nelayan menyimpan wang hasil tangkapan untuk menyara hidup di bulan-bulan lain sepanjang tahun,” cerita adik Ahmed. “Dia tidak mahu terbaring di atas katil. Dia hendak menjual botnya, walaupun pada separuh harga, kerana dia perlukan sebanyak 20 shekel [RM22] setiap hari untuk kos perubatan selama enam bulan, yang mana dia tidak mampu bayar.”

Ahmed telah ditembak sebanyak tiga kali oleh tentera laut Zionis. Kali pertama adalah pada tahun 2000 ketika beliau berada di pantai, mencederakan kakinya. Beliau ditembak lagi pada tahun 2006 ketika sedang menangkap ikan, mencederakan dada dan tangan kanannya.

“Mereka kata bahawa kami tidak dibenarkan menangkap ikan di sini. Tapi ini adalah tanah air kami, mana mungkin mereka dapat menghalang kami menangkap ikan di tanah dan laut kami sendiri”, kata Ahmed sambil cuba menggerakkan tangan kirinya yang sakit. “Saya sedang menunggu satu lagi operasi untuk membuat peluru di dalam perut. Saya menuju kematian secara perlahan-lahan dengan keperitan ini.”

Beliau menyambung, “Apabila saya dapat membawa pulang 20 shekel, saya berasa gembira. Saya tidak terikat dengan mana-mana faksi [kumpulan pejuang] dan saya tidak pernah menembak roket. Apa yang mereka nak dari saya? Saya cuma mahu hidup.”

Penduduk Gaza berhadapan dengan berbagai bentuk penderitaan, terutama akibat sekatan berterusan rejim Zionis. Nelayan mengalami ancaman yang lebih besar kerana perlu berada di laut untuk mencari rezeki.

“Walaupun keadaan dia begitu [terlantar sakit], suami saya sentiasa berfikir cara lain untuk menyara keluarga, saya dan tiga anak lelaki kami,” keluh isterinya.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts