Penduduk Gaza Hadapi Musim Sejuk Dalam Kemusnahan

GAZA, 26 Sept 2014 (IMEMC | Alray) — Seramai lebih 110,000 penduduk awam Gaza kehilangan tempat berteduh akibat serangan zalim tentera Zionis baru lalu. Ramai daripada mereka terpaksa berpindah menumpang dari satu tempat ke tempat lain.

Mangsa serangan Zionis ini masih menantikan penyelesaian kepada masalah asas yang mereka hadapi ini, dalam keadaan musim sejuk bakal tiba tidak lama lagi.

Seorang mangsa, Muin Bahar, yang terpaksa tinggal di bawah runtuhan rumahnya memberitahu bahawa adalah sangat sukar bagi keluarga beliau mencari tempat lain untuk berteduh, makan atau minum. “Kami hanya mampu makan makanan dalam tin dan saya tidak ada apa-apa pekerjaan atau wang untuk menyara keluarga serta sekolah anak-anak,” kata Muin.

Beliau menyeru pihak berwajib Palestin supaya memulakan proses pemulihan segera. “Tidak lama lagi kami mungkin terpaksa tidur dalam hujan.”

Kehidupan penduduk Gaza semakin sukar dari hari ke hari. Kemasukan bahan-bahan keperluan asas untuk membina semula infrastruktur Gaza masih dihalang oleh rejim Zionis dan Mesir. Tambahan lagi, semua kerja pembangunan semula memerlukan lesen atau kebenaran dari Palestinian Authority di Ramallah.

Gaza bukan hanya memerlukan pembangunan semula, tetapi juga banyak lagi pembangunan insfrastruktur asas lain yang terhalang akibat sekatan rejim Zionis sejak lebih lapan tahun lalu.

Menurut Popular Committee for Breaking the Gaza Siege, penduduk Gaza bakal berhadapan dengan bencana besar sekiranya musim sejuk tiba sebelum mereka sempat mendapatkan tempat berteduh.

Musin sejuk bukan hanya menjadi masalah kepada mereka yang hilang tempat tinggal. Bagi penduduk yang lebih bernasib baik di mana rumah mereka masih boleh didiami, keadaan rumah tidak mampu bertahan di musim sejuk. Mereka terpaksa tinggal dalam keadaan rumah tidak bertingkap dan dinding yang pecah. Mereka hanya mampu menutup kerosakan tersebut dengan menggunakan plastik dan kain, bagi menghalang kemasukan atau tiupan angin sejuk.

gaza-01 gaza-02 gaza-04 gaza-05 gaza-06

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts