SALFIT, 18 Apr 2016 (PIC) — Pakar arkeologi memberi amaran berkenaan kemusnahan teruk tiga tapak arkeologi dan sejarah Islam akibat perluasan penempatan haram Yahudi di utara dan barat wilayah Salfit.
Salah satu daripada tapak tersebut terletak di antara Tembok Pemisah dan penempatan haram Ariel di utara Salfit. Sumber semulajadi dan telaga air penduduk Palestin turut musnah apabila kawasan penempatan terus diluaskan ke arah utara secara senyap-senyap.
Menurut seorang ahli arkeologi, Khaled Maali, pihak berkuasa Zionis telah menjalankan penggalian di kawasan Khirbet al-Shajarah beberapa tahun lalu dan mencuri barangan antik yang mereka jumpai. Kawasan tersebut mempunyai banyak telaga dan dinding purba, serta ukiran batu yang besar.
Dua tapak arkeologi lain iaitu Mughr al-Shams dan Kerkesh yang dibina dan diukir dengan batu turut dicemari dengan alat gerudi. Pemandangan panorama dan landskap menarik di sisi kolam-kolam yang besar, gua purba dan panggung terbuka semuanya kini tidak lagi kelihatan. Tapak ini diancam oleh zon industri Barkan, sebahagian daripada projek perluasan kawasan penempatan Ariel.
Manakala tapak arkeologi di Deir Samaan digunakan oleh pendatang Yahudi sejak dirampas oleh rejim Zionis pada tahun 1973 sebagai lokasi lawatan bagi mendidik generasi ke generasi, kononnya ia adalah sebuah perkampungan purba Yahudi.