Pengeboman Udara : Kelemahan Tentera Udara Israel

Pada 07 Oktober 2024, Hizbullah terus membedil kota-kota utama di Israel termasuklah Haifa. Bedilan roket ini merupakan bedilan yang signifikan dan berjaya menembusi Haifa tanpa dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel. Kegagalan sistem pertahanan udara ini diakui sendiri oleh Israel.

Perkara ini menunjukkan bahawa kemungkinan sistem pertahanan udara Israel semakin melemah. Ini kerana roket untuk memintas bedilan Hizbullah di Israel merupakan roket yang mahal dan sukar dihasilkan dengan kuantiti yang banyak secara berterusan.

Serangan roket yang berterusan oleh Hizbullah akan menyebabkan Israel kehabisan roket untuk memintas roket Hizbullah. Ini akan memperlihatkan situasi Hizbullah dapat menggunakan roket yang lebih “high grade” selepas ini apabila sistem pertahanan Israel mula kehabisan roket pintasan.

Setakat ini, Hizbullah hanya menggunakan roket-roket berkapasiti rendah bagi melemahkan sistem pertahanan udara Israel dalam strategi yang disebut sebagai “war of attrition”. Dimana perang berlaku dalam skala masa yang panjang, dan kemenangan ditentukan oleh pihak mana yang dapat bertahan dalam masa yang lebih lama.

Pada hari ke-7 selepas pengumuman penjajahan darat oleh tentera penjajah Israel (TPI), mereka sudah berhenti memberi apa-apa perkembangan dan visual operasi di Selatan Lubnan. Ketiadaan apa-apa perkembangan dalam penjajahan darat ini dibangkitkan oleh pelbagai penganalisis perang termasuklah pakar geo-politik seperti Prof. John Mearsheimer.

Pakar geo-politik, Prof. John Mearsheimer

Menurut beliau, jika operasi TPI berjaya, ia akan diwar-warkan dengan gegak gempita dalam media. Apa yang berlaku adalah TPI telah mendapat tentangan yang hebat dari Hizbullah dalam masa yang sama terpaksa berundur dari banyak medan pertempuran.

Inilah yang menyebabkan mereka tidak mengeluarkan apa-apa laporan.  Sementara itu, pihak resistance terus mengeluarkan laporan-laporan lapangan mereka. Mereka berjaya mengebom dan menyerang hendap banyak posisi-posisi TPI.

Pada 07 Oktober 2024, hari di mana genap satu tahun pemberontakan baharu Palestin ke atas kolonialisme Zionis dalam operasi “Taufan Al-Aqsa”, Hizbullah masih lagi terus melancarkan roket ke atas Israel. Mereka berjaya menyasarkan markas TPI di Glilot, Tel Aviv yang menjadi tempat unit perisikan yang dipanggil Unit-8200 berdekatan dengan markas utama Mossad.

Ini menunjukkan strategi pengeboman Israel ke atas Beirut selama berbulan-bulan tidak berkesan dan tidak berjaya melumpuhkan sistem pelancar roket Hizbullah. Malah serangan peluru berpandu dari Yaman terus menyasarkan Israel pada 07 Oktober 2024. Peluru berpandu balistik dari Yaman ini diberi nama Palestine-2 dan Dhu al-Fiqar. Pihak resistance terus kuat melawan kolonialisme zionis yang semakin melemah dan hanya dapat bertahan kerana bantuan yang diberikan oleh Amerika Syarikat.

Walaupun Israel digambarkan sebagai mempunyai tentera udara yang kuat dan boleh membunuh ramai orang awam dan menghancurkan banyak bangunan, namun tentera udara ini mempunyai kelemahan yang serius seperti yang dianalisis oleh Robert Daly, seorang ahli akademik di American Peace Information Council.

Robert Daly, seorang ahli akademik American Peace Information Council.

Walaupun dilihat sebagai satu persembahan yang menakjubkan, kempen pengeboman dari udara ini gagal menawan mana-mana kawasan dan tidak berjaya membantu Israel menduduki sesebuah kawasan dalam tempoh yang lama. 

Menurut Daly, pembunuhan Hasan Nasrallah yang digambarkan sebagai satu kemenangan besar terhadap Hizbullah merupakan sesuatu yang jauh dari kebenaran. Kerana bukan serangan udara yang boleh mengalahkan musuh, tetapi kekuatan infantri (tentera darat) yang boleh menawan, menguasai, dan mengekalkan kawasan yang ditawan.

Ini dapat dilihat dalam sejarah dari kempen udara oleh pihak Barat terhadap Dresden bagi mengalahkan Nazi Jerman, ia tidak memberi kesan yang signifikan. Yang mengalahkan tentera Nazi Jerman adalah tentera darat Kesatuan Soviet yang berjaya menawan bandar-bandar seperti Stalingrad, Kursk hinggalah ke  Czechoslovakia. 

Kempen pengeboman di Gaza juga ternyata tidak berjaya. Setelah setahun mengebom Gaza dari udara, Hamas telah berjaya menawan semula keseluruhan Gaza. Malah tiada penduduk Gaza yang menentang Hamas, mereka sebaliknya bersama-sama dalam perjuangan menghalau penjajah zionis. Kemampuan Hamas menyerang posisi-posisi TPI dapat dilihat dari angka kematian tentera yang diumumkan oleh Israel. Misalnya pada 08 Oktober 2024, TPI mengumumkan kematian tentera dari Brigade Golani di Utara Gaza. Ini adalah tanda kemampuan Hamas menyerang TPI masih kukuh.

Daly menyimpulkan bahawa pesawat-pesawat pengebom TPI tidak berjaya memberi cabaran kepada pejuang-pejuang pembebasan Hamas di lapangan. Malah askar-askar simpanan Israel yang dikerahkan ke Gaza dan kereta kebalnya menjadi sasaran mudah bagi pejuang-pejuang ini. 

Dalam kata lain, TPI hanya boleh merosakkan dan memusnahkan kawasan di Gaza, mereka tidak akan berjaya menawannya. Perkara yang sama dilihat dalam situasi di Lubnan. Analisa Daly ini saya kira tepat kerana sememangnya tentera TPI tidak efektif dalam perang darat.

Prof. Norman Finkelstein menyatakan bahawa tentera Israel tidak mahu mati dan menyebabkan serangan tentera darat tidak efektif. Mereka sangat takut mati. Sebab itu mereka hanya berani melancarkan perang darat sesudah kempen pengeboman intensif.

Dalam penjajahan darat sekali pun kebiasaannya mereka hanya akan bergerak dalam kereta kebal dan kereta perisai (APC) dan tidak berani keluar. Ini berbeza dengan pejuang resistance seperti Hamas dan Hizbullah yang berjuang tanpa takut mati.

Walaupun Israel cuba menutup kematian yang banyak yang dihadapi oleh tentera penjajahannya di Selatan Lubnan, sumber-sumber tidak rasmi banyak mengesahkan perkara ini. Menurut bekas diplomat British, Alastair Crooke, ayah kepada tentera elit TPI mendedahkan bahawa situasi di Selatan Lubnan sangat teruk buat Israel dan mereka kehilangan banyak tentera.

Tetapi berita ini tidak disiarkan di media Barat dan Israel kerana mereka mahu memberi gambaran bahawa Israel sedang memenangi peperangan. Pengeboman udara merupakan salah satu cara untuk memberi satu gambaran kemenangan kepada Israel, walhal ia tidak memberi kesan yang serius dari sudut ketenteraan.

Ali Mortada, wartawan perang lapangan di Lubnan menceritakan pada 06 Oktober 2024, sekumpulan tentera elit TPI cuba untuk meletupkan dewan orang ramai di Oddeisah. Tentera Hizbullah membiarkan mereka mendekati dewan tersebut sebelum menyerang mereka bertubi-tubi, ini menyebabkan bom yang mereka bawa meletup ke atas tentera mereka sendiri.

Menurut Ali Mortada lagi, Hizbullah telah membunuh 25 tentera TPI manakala lebih 100 tentera TPI mengalami kecederaan. Beliau turut menyatakan bagaimana pengeboman udara Israel tidak berkesan, misalnya Kfar Kila telah dibom oleh TPI sebanyak 600 kali, namun mereka tidak berjaya menawan Kfar Kila.

Perkara yang sama berlaku di tempat-tempat lain di Selatan Lubnan seperti di Yaroun, Maroun, dan ‘Aid Taroun, tentera TPI terus diserang hendap, dan kereta kebal Merkava mereka berjaya dimusnahkan.

Pengeboman bandar kecil Yaroun misalnya, sangat intensif. Bandar yang sebelum ini penuh kehidupan dengan populasi Muslim Syiah dan juga warga Yunani Katolik kini musnah. Melalui video terkini, bandar tersebut mirip dari segi kemusnahannya dengan apa yang berlaku di Gaza. Namun tetap, TPI tidak berjaya menguasai Yaroun.

Sokongan Diplomatik Israel Terus Merosot

Presiden Perancis, Emmanuel Macron

Jenayah perang yang dilakukan oleh Israel merupakan jenayah yang dilakukan bersama dengan sokongan kuat dari Amerika Syarikat dan negara-negara Barat seperti Jerman, Itali, dan Britain yang menjadi penyumbang utama kepada senjata Israel yang digunakan untuk membunuh ribuan bayi dan kanak-kanak.

Oleh kerana tekanan domestik dan diplomatik yang berterusan, beberapa negara mula terasa bahang tekanan dan mengubah polisi mereka. Presiden Perancis, Emmanuel Macron misalnya, telah mengeluarkan kenyataan secara terbuka pada 05 Oktober 2024 agar bekalan senjata kepada Israel dihentikan. Kenyataan Macron ini adalah susulan tindakan dari beberapa negara Eropah yang mula menghadkan bantuan senjata kepada Israel.

Ucapan Abu Ubaidah Sempena Setahun Taufan Al-Aqsa

Dalam ucapannya sempena satu tahun pemberontakan terhadap kolonialisme melalui Operasi Taufan Al-Aqsa, Abu Ubaidah telah menyampaikan salam hormat kepada semua pejuang resistance di Lubnan, Yaman, Iraq dan Iran.

Beliau juga menegaskan bahawa pejuang di Gaza terus komited dalam perjuangan resistance mereka. Abu Ubaidah menyatakan bahawa Operasi Taufan Al-Aqsa adalah serangan pre-emptive yang telah mengejutkan pihak zionis dan mengubah lanskap serantau.

Serangan ini dilakukan kerana keganasan yang keterlaluan yang dilakukan oleh zionis di Masjid Al-Aqsa, cubaan mereka untuk me-yahudikan tanah-tanah Palestin, sekatan yang dilakukan ke atas Gaza dan juga cabulan mereka kepada hak-hak orang Palestin.

Selama setahun, Gaza telah mengajar dunia perihal maruah diri, kecintaan pada tanah air, kerinduan pada kebebasan, juga perjuangan melawan penjajahan meski pun seluruh dunia mengabaikan mereka. Jenayah yang berlaku ke atas Gaza ini merupakan jenayah yang disokong oleh Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Barat.

Walaupun tidak mengkritik secara langsung, Abu Ubaidah secara tidak langsung mengkritik negara-negara Arab yang berkolaborasi dengan golongan zionis dan tidak berbuat apa-apa untuk membantu perjuangan Gaza. Di sebalik semua pengkhianatan ini, selama setahun, pejuang resistance di Gaza terus berjuang dengan penuh semangat ksatria dalam operasi-operasi bersejarah.

Perjuangan selama setahun ini juga banyak mengajar pejuang-pejuang resistance di Gaza, di mana mereka sentiasa memperbaiki strategi mereka dan membuat serangan yang tidak berjaya dijangka oleh musuh. Abu Ubaidah juga menekankan bahawa pihak resistance bersedia untuk perang yang panjang dan mampu menghadapi “war of attrition”. 

HAMAS menurut Abu Ubaidah, sentiasa bersedia membayar harga perjuangan dengan para syuhada’nya, bermula dengan pemimpin tertinggi sebelum askar-askar biasa. Perkara ini dapat dilihat dengan syahidnya ketua Hamas iaitu Ash-Syahid Ismail Haniyeh, begitu juga perjuangan resistance lain seperti Hizbullah dengan syahidnya Sayyid Hassan Nasrallah.

Abu Ubaidah juga menyatakan keyakinannya kepada Hizbullah bahawa mereka akan dapat memberi tentangan hebat kepada TPI dan memberikan kekalahan besar pada mereka. Bagi Abu Ubaidah, harapan dan maruah bangsa Palestin sentiasa sinonim dengan batang-batang senapang, kerana golongan penjajah tidak memahami bahasa lain melainkan kekerasan, maka serangan bersenjata perlu dilawan dengan senjata juga.

Dalam menyambut ulang tahun Operasi Taufan Al-Aqsa, Abu Ubaidah juga menyeru umat Islam, bangsa Arab, dan seluruh umat manusia untuk membantu perjuangan pembebasan Palestin dari sudut persenjataan, kewangan, dan peralatan.

Begitu juga keperluan perang propaganda dalam media bagi melawan propaganda zionis dalam media arus perdana. Apa yang lebih penting adalah pergerakan sebenar umat Islam bagi Abu Ubaidah, peranan ini harus dimainkan oleh golongan intelektual, pendakwah dan ulama’, bukan lagi terbatas pada solidariti dalam percakapan sahaja, sebaliknya seruan jihad yang jelas perlu digerakkan, untuk mengembleng seluruh tenaga umat untuk membantu pembebasan Palestin. Pergaduhan mazhab perlu dihentikan, dan umat juga perlu bersatu menurut Abu Ubaidah.

Penulisan merupakan pendapat penulis, Syed Ahmad Fathi

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts