Penyair wanita Palestin dihukum penjara 5 bulan

NAZARETH, 31 Julai 2018 — Mahkamah Majistret Zionis di Nazareth hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan, di samping hukuman tertangguh selama 6 bulan, ke atas penyair Palestin Darin Tatour, 36, atas tuduhan “menghasut dan menyokong pertubuhan pengganas”.

Pihak pendakwaraya Zionis menuduh wanita dari perkampungan Galilee di al-Reineh, utara wilayah Palestin 1948 yang terjajah, itu membuat hasutan melalui sebuah puisi yang ditulis di laman Facebook beliau. Mereka mendesak supaya Darin dihukum penjara sehingga 26 bulan.

Beliau ditangkap pada 11 Oktober 2015, seminggu selepas menerbitkan puisi beliau bertajuk “Lawan [penjajahan], bangsaku, lawan mereka” di laman Facebook beliau. Puisi tersebut mengisahkan insiden tiga penduduk Palestin yang diserang oleh pendatang Yahudi, iaitu remaja Mohammed Abu Khdeir yang diculik dan dibakar hidup-hidup oleh pendatang Yahudi pada tahun 2014; remaja Hadeel al-Hashlamoun yang ditembak oleh tentera Zionis di kota al-Khalil; dan bayi Ali Dawabsheh yang terbunuh apabila rumah keluarganya dibakar oleh pendatang Yahudi ketika mereka sedang tidur di Duma pada tahun 2015.

Sejak ditahan, Darin dikenakan tahanan dalam rumah di rumah adiknya di Tel Aviv, dengan dipasang alat pengesan di pergelangan kakinya dan dilarang menggunakan telefon serta media sosial. Beliau juga ditahan di beberapa interogasi Zionis.

Menurut Darin, penyiasat tentera Zionis pada mulanya menuduh beliau membuat hasutan melalui sebuah poster yang tertulis “Aku syuhada yang seterusnya”.

Namun kerana hujah tuduhan mereka lemah, pasukan penyiasat tersebut terus mencari di laman Facebook beliau sehinggalah terjumpa puisi tersebut, dengan memberi fokus kepada perkataan “syahid” yang digunakan di dalamnya. Sedangkan perkataan “syahid” dalam puisi tersebut sebenarnya bermaksud “mangsa”.

(Alray, IMEMC, Maan, MEE)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts