Perluasan penempatan haram Yahudi paksa penduduk Palestin tinggal dalam gua

AL-KHALIL, 29 Julai 2020 — Di bawah kaki gunung-gunung berbatu di al-Khalil, Munther Abu Aram, 48, bersama isteri dan empat orang anaknya terpaksa melangsungkan hidup secara primitif dalam sebuah gua semula jadi. Selepas rejim Zionis memusnahkan rumah mereka, keluarga Munther tidak ada pilihan lain dan terpaksa hidup tanpa kemudahan elektrik, air mahupun sanitasi.

Gua kecil itu, hanya kira-kira 150 meter persegi, terletak di Khirbet Janba di Tebing Barat. “Kehidupan dalam gua amat sukar, tetapi kami terpaksa biasakan diri selepas buldozer rejim Zionis musnahkan rumah kami yang dibina dengan batu bata, simen dan zing pada tahun 2018, sebab dibina tanpa permit. Saya bina semula, dan mereka roboh lagi pada tahun 2019,” terang Munther kepada Al-Monitor.

Menurut laporan media Turki Anadolu Agency pada bulan Disember 2019, sekitar 19 keluarga Palestin – kira-kira 100 orang – tinggal dalam gua di selatan al-Khalil tanpa kemudahan elektrik, air, sekolah ataupun jalan.

Rejim Zionis mengharamkan penduduk Palestin membina bangunan di Kawasan C, dan akan meroboh sebarang bangunan yang dibina. Laporan pertubuhan hak asasi B’Tselem pada 6 Februari 2019 menunjukkan rejim Zionis telah memusnahkan 1,401 buah rumah penduduk Palestin dalam Kawasan C dalam tempoh antara 2006 dan 2018, menyebabkan 6,207 penduduk Palestin termasuk 3,134 kanak-kanak bawah umur 16 tahun kehilangan tempat berteduh.

Pada 15 Januari 1997, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan rejim Zionis menandatangani Perjanjian Hebron, juga dikenali sebagai Protokol Hebron, yang membahagikan kota al-Khalil kepada dua sektor: H1 yang merangkumi 80% kawasan kota dikawal dan ditabdir oleh pihak keselamatan Palestin, dan H2 baki 20% kota al-Khalil termasuk pusat Kota Lama, diletak di bawah kawalan pasukan tentera Zionis. Jumlah penduduknya dianggarkan seramai 40,000 orang.

Kata Munther, “Penjajah ingin menghalau kami dari Khirbet Janba, merampas tanah dan dijadikan kawasan larangan tentera serta meluaskan kawasan penempatan haram Kiryat Arna, juga pos-pos penempatan di sekitarnya.” Tambah beliau, pihak rejim enggan membekalkan elektrik dan air ke Khirbet Janba, bahkan beberapa kali memusnahkan tiang-tiang elektrik dan paip saluran air.

Munther dan keluarganya menyara hidup dengan bercucuk tanam dan berternak, dan beliau menggunakan kereta keldai untuk pergi membeli air dan keperluan-keperluan lain di kawasan bandar berdekatan, juga sebagai pengangkutan anak-anak beliau ke sekolah di perkampungan berdekatan, puluhan kilometer jaraknya.

Beliau menggunakan lampu minyak untuk menyinari kegelapan gua, dan isterinya memasak menggunakan kayu api. Pada musim panas, keluarganya terpaksa tidur di luar kerana bimbangkan ular serta kala jengking yang sering menjadikan guna sebagai tempat berteduh.

Khalil Jabreen, 41, juga tinggal bersama keluarganya dalam sebuah gua seluas 250 meter persegi berdekatan bekas tapak rumahnya di Khirbet al-Fakhit, yang telah dirobohkan oleh rejim penjajah pada tahun 2000 kerana tidak mempunyai permit pembinaan, kemudian diroboh dua kali lagi pada tahun 2015 dan 2018.

Semua enam ahli keluarga Jabreen mula tinggal dalam gua sejak rumah mereka dirobohkan buat pertama kali pada tahun 2000. Beliau memberitahu Al-Monitor, setiap kali rumahnya itu dibina semula, rejim Zionis akan merobohnya.

“Tentera Zionis terus menghalau kami dari kawasan itu, tetapi kami tetap menolak semua usaha mereka untuk menghalau kami dan kami akan pertahan tanah kami daripada dirampas bagi mereka membina pos penempatan haram Yahudi,” kata Jabreen.

Jabreen juga menjelaskan bahawa pendatang Yahudi berterusan menyerang beliau dan anak-anaknya, sementara tentera Zionis terus membina sekatan di laluan-laluan masuk ke Khirbet al-Fakhit untuk menghalang penduduk membawa masuk makanan, air dan keperluan-keperluan lain.

Tambah Jabreen, “Di kawasan ini di mana kami hidup tanpa sekolah, pusat kesihatan dan klinik, dan apa jua keperluan kecemasan. Saya terpaksa mengharungi perjalan yang jauh dan merbahaya menggunakan kereta keldai untuk ke hospital atau menghantar anak-anak ke sekolah.”

Abdel Hadi Hantash, seorang ahli jawatanuasa Pertahanan Tanah Palestin di Tebing Barat, memberitahu Al-Monitor, “Terdapat 27 penempatan haram dan 32 pos penempatan haram Yahudi di wilayah al-Khalil di selatan Tebing Barat.” Jelas beliau, rejim Zionis merancang untuk menyahudisasi al-Khalil dan mengilhak Kota Lama ke dalam kawasan penempatan haram Kiryat Arba, yang telah diberikan status perbandaran oleh pihak rejim.

Sambung beliau, “Rejim Zionis melihat al-Khalil sebagai kota keagamaan,” dengan menjelaskan bahawa pendatang Yahudi di kota itu berpegang kepada keagamaan secara fanatik dan berpolitik secara penuh keganasan.

Abdel Hadi menjelaskan, “Terdapat dua jenis penempatan haram di al-Khalil. Jenis pertama mendapat pengiktirafan pihak rejim dan tertakluk kepada majlis penempatan di Tebing Barat. Mereka menyerahkan rancangan penempatan melalui saluran politik supaya diiktiraf, sekaligus dapat membuat tawaran tender untuk kerja-kerja pembinaan. Namun, terdapat juga penempatan yang tidak rasmi yang dibina oleh pertubuhan-pertubuhan Zionis dan mereka yang berpengaruh dalam pentadbiran rejim Zionis.”

Tambah beliau, “Pihak rejim mengeluarkan 16 arahan perobohan di kawasan Masafer Yatta di al-Khalil, merampas tanah seluas 250,000 dunum (2,500 hektar) dan kemudian mengisytiharkannya sebagai zon larangan tentera. Penduduk Palestin tidak dibenarkan tinggal atau bina bangunan di situ, dan tentera Zionis berterusan memberi tekanan supaya penduduk Palestin meninggalkan tanah mereka.”

Abdel Hadi menyeru pihak berkuasa Palestin supaya membina infrastruktur di kawasan yang diancam oleh pendatang Yahudi. “Mereka patut merayu kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC), yang mana ditakuti oleh rejim penjajah kerana mereka boleh mengeluarkan waran tangkap ke atas pemimpin Zionis yang terlibat dalam jenayah perang dan rampasan tanah, dan memaksa ICC mengeluarkan penghakiman yang boleh memberi keadilan kepada penduduk Palestin dan mengukuhkan lagi daya tahan mereka.”

(Al-Monitor)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts