Permulaan Penjajahan Darat Terhadap Lubnan

Setelah hampir dua minggu kempen pengeboman dari udara, penjajah melancarkan serangan darat ke atas Lubnan pada 01 Oktober 2024. Penjajahan ini diumumkan sebagai satu operasi terhad, bersifat tempatan dan menyerang sasaran spesifik bagi memusnahkan keupayaan dan infrastruktur Hizbullah di selatan Lubnan. Operasi ini merupakan sambungan kepada Operation Northern Arrows yang dilancarkan pada bulan September 2024 setelah beberapa bulan persediaan dan latihan dilakukan.

Mengumumkan permulaan penjajahan sebagai “operasi terhad” bukanlah sesuatu yang baharu dalam strategi perang Israel. Pada tahun 1982, Israel turut mengumumkan penjajahan “terhad”, namun penjajahan tersebut berlangsung selama 18 tahun. Hinggalah akhirnya Israel berjaya ditewaskan dan berundur dari selatan Lubnan pada tahun 2000.

Perang yang bermula pada tahun 1982 ini berjaya melemahkan tentera Palestine Liberation Organization (PLO) dibawah pimpinan Yasir Arafat. PLO tidak lagi menjadi kuasa ketenteraan selepas itu dan beralih kepada kaedah diplomatik untuk menyelesaikan konflik. Namun, penjajahan ke atas Lubnan yang bermula pada tahun 1982 telah melahirkan gerakan “resistance” ketenteraan baharu yang lebih kuat di Lubnan iaitu Hizbullah.

Menurut sumber “resistance” dari Lubnan, operasi penjajah ini gagal dilakukan dengan berkesan kerana selama berjam-jam Hizbullah melancarkan serangan bertalu-talu. Seranganpenjajah dibantu oleh tentera udara dan juga pasukan artileri Israel.

Dengan serangan ini, Israel berharap dapat mengembalikan penduduk-penduduk haram mereka ke utara selepas hampir setahun gagal kerana bahagian utara Israel sering dibedil oleh Hizbullah. Pergerakan penjajah yang sudah diperhatikan oleh Hizbullah menyebabkan mereka menjadi sasaran serangan yang mudah.

Menurut naib setiausaha agung Hizbullah, Sheikh Naim Qassem, peperangan ini akan berlangsung dalam masa yang panjang dan Hizbullah telah bersedia untuk berjuang sehingga mencapai kemenangan dan menggagalkan ke semua objektif penjajah.

Ahli majlis politik Hizbullah, Mahmoud Qomati menyatakan penjajahan darat ini akan menyebabkan sekutu-sekutu Hizbullah menyertai perang dan menjadikan Lubnan kubur bagi tentera penjajah. Walaupun penjajah berjaya membunuh pemimpin-pemimpin Hizbullah, semua posisi ini sudah pun diisi semula.

Hizbullah sebenarnya telah menyerang banyak posisi tentera penjajah sebelum pengumuman pelancaran perang darat lagi. Antara posisi penajjah yang diserang termasuklah di Odeisseh, Kfar Kila, Misgav Am, Sadh, Naqoura, Safad, Gesher HaZiv, Sa’ar, Kabri, Kfar Giladi, Bethsaida, Yiftah, dan Haifa.

Serangan-serangan ini dilakukan dengan tepat, namun Israel tidak mengumumkan angka tenteranya yang terkorban bagi mengelakkan kejatuhan moral dalam kalangan tenteranya. Serangan-serangan ini dilakukan menggunakan pelbagai jenis peluru berpandu seperti Fadi-1, Fadi-2, Noor dan roket-roket lain.

Walaupun penjajahan darat ini masih dalam peringkat awal, malah kebanyakan penganalisis masih skeptikal dengan kebenarannya, kerana tiadanya bukti-bukti visual yang jelas bahawa sudah berlaku, apa yang tidak dapat dinafikan adalah penjajah sudah mula mengumpul kekuatan di perbatasan, dan perkumpulan mereka telah mula dibedil oleh pihak “resistance” dari Lubnan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts