Polis Israel tembak mati rakyat Palestin di Sur Bahir

Baitul Maqdis, Selasa 7 April – Polis Israel menembak mati seorang rakyat Palestin di kejiranan Sur Bahir, timur Baitul Maqdis sementara jentolak-jentolak meruntuhkan sebuah rumah milik keluarga Palestin berdekatan tempat kejadian tersebut.

Azmi Ewisat, 20 tahun, dilaporkan sedang memandu kereta berdekatan sebuah sekatan polis apabila ditembak mati. Mohamed Amera, juga 20 tahun, yang menaiki kereta bersama Azmi dilaporkan mengalami kecederaan parah. Lebih 20 kesan tembakan peluru menembusi cermin hadapan kereta yang dipandu oleh Azmi.

Polis Israel mendakwa pemandu tersebut cuba merempoh sekatan. Namun saksi-saksi mendakwa tentera dan polis Israel membuat sikap provokasi dan mengherdik masyarakat tempatan sejak kehadiran mereka di kawasan berkenaan dari awal pagi. Polis Israel sangat terkenal dengan sikap brutal mereka terhadap rakyat Palestin. Sekatan diadakan bagi membantu keselamatan pekerja dan tentera Israel meruntuhkan rumah keluarga Hussam Doyat. 

Seorang penduduk berusia 26 tahun, Mahmud Atur, yang menyaksikan kejadian menembak Azmi menjelaskan bahawa mangsa telah menurunkan isterinya di sebuah klinik berdekatan, dan terus memandu. “Dia memandu agak laju, dan mereka (polis Israel) terus menembak,” jelas Mahmud sambil menegaskan bahawa beliau tidak percaya kepada dakwaan Azmi cuba melanggar sekatan mahupun polis Israel.

Polis dan tentera Israel mengepung kejiranan Sur Bahir awal pagi Selasa untuk mengawasi kerja meruntuhkan rumah Hussam Doyat. Hussam Doyat ditembak mati Julai tahun lepas apabila dia menyerang warga Israel dengan menggunakan jentolak, mengakibatkan 3 orang rakyat Israel terbunuh. Walaupun siasatan mendedahkan Hussam bertindak secara sendirian dan tidak terlibat dengan mana-mana pertubuhan, kerajaan Israel tetap menolak sebarang rayuan dari keluarga Doyat.

Undang-undang British Mandate 1945 artikel 119 membenarkan tindakan meruntuhkan rumah mereka yang bertindak agresif terhadap negara haram Israel.

Semasa menjalankan kerja-kerja meruntuh rumah yang dihuni oleh 25 orang ahli keluarga Doyat, polis dan tentera Israel telah menyerang dan memaksa mereka mengosongkan rumah. Akhbar Hareetz melaporkan ketegangan berlaku apabila polis Israel melepaskan gas pemedih mata ke arah lebih 50 jiran Doyat yang menghalang Israel dari merobohkan rumah tersebut. Ibubapa Doyat tercedera ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan. Bapa Hussam, Taysir Dweikat, bertegas bahawa tindakan meruntuhkan rumahnya itu tidak sekali-kali membuatkan mereka takut. “Ianya (tindakan meroboh) membuatkan saya lebih kuat,” kata Taysir.

Arahan meruntuhkan rumah tersebut telah ditanda-tangan oleh Menteri Pertahan Ehud Barak, yang mendakwa tindakannya adalah untuk menyekat serangan penduduk Palestin terhadap rakyat dan kepentingan Israel. Beberapa pertubuhan hak asasi di Israel bagaimanapun tidak begitu bersetuju dengan tindakan tersebut.

Peace Now, sebuah pertubuhan hak asasi di Israel, dalam kenyataan medianya mendesak kerajaan Israel supaya bersikap adil dengan meruntuhkan monumen Baruch Goldstein di Hebron. Pada tahun 1994 Goldstein membunuh 29 orang rakyat Palestin ketika mereka sedang bersolat di Masjid Ibrahimi, sebelum bertindak membunuh dirinya sendiri. Penduduk haram Yahudi di Hebron membina monumen bagi menghargai serangan Goldstein.

Sebuah lagi pertubuhan, B’Teslem, mendakwa sebanyak 664 buah rumah kediaman rakyat Palestin telah dirobohkan oleh kerajaan haram Israel sepanjang tempoh Intifadah ke-2 dari Oktober 2001 sehingga Januari 2005, menyebabkan 4182 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal. [HP/Ma’an/Hareetz/NYT]

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts