Rakyat Palestin Lalui 33 Tahun Kehidupan Dalam Penjara

AL-QUDS, 18 Jan 2015 (WorldBulletin) — Maher Younis, seorang rakyat Palestin yang dilahirkan pada tahun 1958 di pekan Arara yang kini menjadi kawasan yang terjajah, telah melalui kehidupan berterusan di dalam tahanan rejim Zionis selama 33 tahun.

Beliau telah ditangkap pada malam 20 Januari 1983. Tanpa sebarang amaran, puluhan buah jip tentera Zionis mengepung rumah keluarga beliau sebelum bertindak memecah masuk. Tentera Zionis dengan cepatnya mengikat Maher, menutup kepala beliau, kemudian memukulnya sebelum dibawa lari ke pusat interogasi. Rejim Zionis meneruskan penyiasatan sehingga lebih enam bulan tanpa memaklumkan kesalahan Maher kepada keluarganya.

Maher merupakan salah seorang daripada kumpulan penduduk Palestin yang ditangkap sebelum Perjanjian Oslo yang dipersetujui pada tahun 1993. Perjanjian tersebut menetapkan supaya semua rakyat Palestin yang ditahan sebelum tahun 1993 dibebaskan sebelum akhir Mac 2014, tetapi rejim Zionis enggan menepati janji tersebut.

Maher yang kini berumur 57 tahun merupakan orang yang kedua paling lama ditahan di penjara Zionis. Manakala Karim Younis, ditahan terlebih dahulu pada tahu yang sama, merupakan orang yang paling lama ditahan. Kedua-dua mereka kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Pusat Tahanan Hadarim di utara negara Palestin yang terjajah.

Maher dituduh sebagai seorang anggota Fatah dan membunuh seorang askar Zionis serta memiliki senjata api. Karim juga dituduh membunuh seorang askar Zionis.

Rejim Zionis bersetuju untuk membebaskan para tahanan yang ditahan sebelum 1993 sebagai imbuhan kepada sikap pihak Otoriti Palestin yang tidak berusaha mendapatkan keahlian PBB dan institusi-institusi antarabangsa yang lain.

Bagaimanapun rejim Zionis enggan membebaskan tahanan tersebut atas alasan mereka menetap di dalam wilayah yang ditakluk rejim Zionis, jadi secara teknikalnya mereka adalah rakyat negara haram itu.

Lebih 7,000 penduduk Palestin kini masih berada dalam tahanan rejim Zionis.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts