Rejim Zionis Tangkap 1,000 Kanak-kanak Palestin Sejak Awal 2021

RAMALLAH, 5 Sep 2021 — Laporan Pusat Kajian Tahanan Palestin yang diterbitkan hari ini menunjukkan rejim Zionis telah menangkap serta menahan 1,000 kanak-kanak Palestin sejak awal tahun. Seramai 73 daripada mangsa berumur di bawah 14 tahun.

Pihak bersenjata rejim penjajah menyasarkan kanak-kanak Palestin secara sistematik, kononnya bagi menghalang mereka terlibat dalam aktiviti menentang penjajahan. Tindakan ini sekaligus menafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan atau membina masa depan.

Pengarah Pusat Kajian Tahanan Palestin, Riyad al-Ashqar, dalam keterangannya menyebut semua kanak-kanak terbabit terpaksa melalui berbagai bentuk layanan buruk dan penderaan sejak mula ditangkap. Sebahagiannya ditembak dan dicederakan sebelum ditangkap, seterusnya disoal siasat ketika dalam rawatan di hospital.

230 Kanak-kanak Merengkok Dalam Penjara

Kempen besar-besaran rejim Zionis menangkap kanak-kanak Palestin menyaksikan seramai 230 mangsa masih merengkok dalam penjara, mencabul semua perjanjian-perjanjian hak asasi manusia termasuklah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak.

Daripada jumlah tersebut, tiga orang dikenakan tahanan pentadbiran tanpa sebarang pendakwaan atau pengadilan. Manakala 102 yang lain dikenakan pelbagai hukuman penjara, sementara sebahagian lagi masih menantikan proses pengadilan.

Keadaan Pusat Tahanan Yang Menyayatkan

Menurut laporan itu lagi, kanak-kanak Palestin dikurung dalam pusat-pusat tahanan yang menyayatkan di mana mereka berhadapan dengan penghinaan, ancaman, penyiksaan, serta tindakan ganas secara berterusan.

Salah satu pencabulan yang paling ketara oleh rejim Zionis adalah dengan membuat serbuan mengejut dan memeriksa bilik-bilik kurungan, di samping menghalang tahanan dewasa daripada membantu hal-ehwal mereka.

Rejim Zionis turut mengeksploitasi pandemik virus korona sebagai alat untuk menekan dan menakutkan kanak-kanak yang dikurung. Pihak penjajah tidak mengambil sebarang langah untuk melindungi para tahanan daripada ancaman jangkitan. Mangsa-mangsa juga dikurung dalam bilik secara berseorangan atas alasan kuarantin, bahkan keluarga serta peguam dilarang membuat sebarang lawatan.

Denda Yang Melampau Tinggi

Mahkamah-mahkamah tentera Zionis mengenakan denda yang amat tinggi ke atas tahanan kanak-kanak Palestin, sekaligus menambahkan lagi beban ke atas keluarga mangsa yang dibelenggu dengan masalah dan sekatan ekonomi.

Sebagai contoh, mahkamah tentera Zionis di Ofer telah mengenakan denda terkumpul sebanyak 300,000 Shekel (RM 340,000) sejak awal tahun ini.

Masyarakat antarabangsa perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka ke atas kanak-kanak Palestin, dengan memberi tekanan ke atas rejim penjajah Zionis supaya kembali menghormati perjanjian-perjanjian antarabangsa serta menghentikan penangkapan tidak berasas itu.

(Alray)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts