Remaja Abdul-Khalik Burnat dan Mohammed Tamimi dihadap ke mahkamah tentera

RAMALLAH, 29 Jan 2018 — Remaja Abdul-Khalik Burnat, 17, dan Mohammed Bilal Tamimi, 19, dihadapkan ke mahkamah tentera Zionis di Ofer, berdekatan Ramallah semalam.

Abdul-Khalik dan Mohammed masing-masing ditangkap sejak 50 dan 17 hari lalu.

Iyad Burnat yang juga seorang aktivis Palestin menceritakan pengalaman beliau menghadiri ‘perbicaraan’ anak lelakinya itu, yang berakhir dengan penangguhan perbicaraan sehingga 11 Februari.

Beliau menulis di laman Facebook, “Saya hadiri ‘perbicaraan’ hari ini, 50 hari selepas anak saya diculik, dan ia merupakan hari yang penuh dengan penghinaan dan kekejian.

Saya bersama isteri terpaksa melalui beberapa sekatan dan pemeriksaan tentera, sebelum akhirnya tiba di satu kawasan di mana keluarga-keluarga tahanan sedang menunggu untuk mendengar ‘perbicaraan’ anak-anak mereka.

Selepas dua jam menunggu, kami masuk ke dalam ‘mahkamah’, dan mahkamah jenis apakah ini! Sebuah mahkamah yang penuh dengan tentera berpakaian seragam dan seorang kanak-kanak dikurung dalam sangkar, dengan kakinya dirantai, berpakaian coklat penjara, dan senyuman lebar.

Senyuman yang menggambarkan ‘saya tetap cekal!’ Senyuman yang menyambut ibu dan bapanya dalam sebuah suasana yang penuh dengan permusuhan dan kebencian.

Salah seorang askar mengarah kami supaya duduk dan tidak bersuara di kawasan khusus untuk keluarga tahanan. Seorang lagi askar diarah membaca ‘tuduhan’ ke atas Abdul-Khalik.

Beliau mula membaca, dengan pancaran matanya kelihatan penuh dengan kedustaan dan dengki: Membaling batu menggunakan lastik [yang merupakan tuduhan lazim ke atas sektar 700 kanak-kanak Palestin setiap tahun], sembilan kali; menyebabkan kerosakan teruk ke atas Tembok [Pemisah yang dibina dengan konkrit setinggi lapan meter]; menjadi ancaman ke atas ‘kawasan keselamatan’; menyebabkan kerugiaan besar kepada negara [Zionis], serta beberapa lagi tuduhan lain.

Hakim, pendakwa dan pengawal semuanya berpakaian seragam tentera. Saya tidak pernah terasa berada dalam sebuah mahkamah, bahkan dalam suasana yang penuh dengan ketidakadilan, yang merupakan sebahagian daripada penjajahan Zionis.

Selepas membaca ‘tuduhan’, hakim yang berpakaian tentera berucap untuk mengisytiharkan bahawa ‘perbicaraan’ ditangguhkan sehingga hari Ahad, 28 Februari.”

Sementara itu, Mohammed turut dibawa ke mahkamah tersebut. Beliau adalah sepupu kepada Ahed Tamimi.

Ibunya Manal Tamimi menulis di laman Facebook bahawa hakim tentera masih tidak memutuskan untuk melanjutkan tahanan sebagaimana didesak oleh badan perisik Zionis, Sabak.

“Kami baharu pulang dari perbicaraan Mohammed yang mana buat pertama kali kami dibenarkan hadir sejak dia ditangkap 17 hari lalu. Hakim tidak memberi keputusan samada untuk terus menahan beliau di bawah interogasi Shabak, atau mengarahkan Shabak supaya menghentikan interogasi dan menghantar Mohammed ke penjara. Keputusan akan dibuat dalam beberapa hari lagi.

Mohammed kelihatan sangat letih, mukanya bertukar kekuningan dan dia hilang berat sebanyak tujuh kilogram atau lebih, dia tidak mendapat makanan dan tidur yang cukup sejak 17 hari lalu dan terpaksa melalui begitu banyak interogasi siang dan malam. Sungguhpun begitu, dia tetap cekal dan mereka tidak mampu mematahkan [semangat] beliau.”

(IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts