TV Al-Jazeera yang berpengkalan di Qatar melaporkan pada hari Khamis rombongan daripada Gerakan Hamas dijangka tiba di Kaherah pada hari Ahad untuk perbincangan dengan pihak Mesir berkenaan gencatan senjata, pembukaan pintu masuk sempadan di Tebing Gaza dan pelbagai isu lain yang berkaitan.
Jurucakap Kementerian Luar Negara Mesir, Husam Zaki, berkata pertemuan yang dirancang tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif Mesir yang bertujuan untuk mengembalikan keamanan selepas serangan Tebing Gaza.
Pada awalnya Mesir merancang pertemuan dengan Hamas pada hari Khamis tetapi Gerakan Hamas menangguhkannya kepada hari Ahad.
Mohammad Nassr, salah seorang pemimpin tinggi Hamas, berkata gerakan itu belum lagi menetapkan siapa yang akan mewakili pihak Hamas di dalam pertemuan tersebut.
Nassr menafikan laporan media yang mendakwa penangguhan itu disebabkan Hamas menghendaki penglibatan Turki. Beliau juga menambah tarikh belum ditetapkan untuk pertemuan dengan Turki.
Mesir merancang mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak Palestin dalam rangka menaja satu lagi plan gencatan senjata, terutamanya setelah Israel dan pihak Palestin bersetuju untuk menamatkan pertempuran di Gaza.
Mesir menaja genjatan senjata selama enam bulan yang telah berakhir sebelum perang Israel ke atas Gaza bermula.
Ketua Biro Keselamatan-Diplomatik Kementerian Pertahanan Israel, Amos Gilad, melawat Kaherah pada hari Khamis dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Inteligen Mesir, Omar Suleiman.
Israel menuntut Mesir terlibat secara aktif di dalam menyekat penyeludupan senjata ke Gaza dan juga bekerjasama dengan Eropah dalam penghantaran armada laut Kesatuan Eropah bagi mengawasi perairan Gaza. [imemc/terjemahan:HP]