TEBING BARAT, 25 Apr 2016 (MEMO) — Sekurang-kurangnya tiga buah rumah penduduk Palestin di Tebing Barat dirampas dan ditukar menjadi pos tentera Zionis sejak kebelakangan ini.
Pada 18 April sekitar jam 11:30 malam, puluhan askar Zionis mengepung rumah keluarga Dragmeh di perkampungan al-Lubban al-Sharqiya, kira-kira 13 batu di selatan kota Nablus. Tentera memanjat naik ke atas bumbung tanpa sebarang keterangan kepada pemiliknya.
Mereka memacak kemah di atas bumbung rumah tersebut dan kemudian mengibarkan bendera rejim Zionis, menjadikan bumbung rumah tersebut sebagai pos mereka.
Hanya setelah itu mereka memaklumkan kepada seorang ahli keluarga Dragmeh, bahawa mereka sedang menjalankan satu misi ketenteraan dan akan meninggalkan tempat tersebut apabila misi mereka tamat.
Mereka tetap berada di situ selama tiga hari, sehingga 21 April. Namun, tidak siapa dapat menjamin bahawa mereka tidak akan pulang semula ke situ, sebagaimana yang terjadi dalam kes lain.
Pada 23 Mac sebagaimana dilaporkan oleh agensi PBB OCHA, tentera Zionis secara ganas merampas rumah keluarga Abu Shamleh di perkampungan Ya’bad berdekatan Jenin, dan kemudian menukarnya menjadi lokasi pemerhatian tentera.
Sejak empat bulan lalu, rumah tersebut telah berkali-kali dirampas untuk dijadikan pos tentera sehingga menjadi rosak. Tentera bahkan mengugut tiga keluarga yang tinggal di rumah tersebut, termasuk 19 kanak-kanak. Mereka akan datang selepas waktu Maghrib dan menghalang keluarga Palestin itu daripada keluar atau masuk tempat tinggal mereka.
Bukan itu sahaja, tentera memerintah Yahya Abu Shamleh supaya memasang lampu sorot di sekeliling rumahnya atas alasan penduduk Palestin membaling batu ke arah kenderaan pendatang Yahudi dari kawasan tersebut. Tentera mengugut untuk meroboh bangsal ternakannya jika arahan tersebut diabaikan.
Kali terakhir tentera Zionis menduduki rumah keluarga Abu Shamleh adalah pada 15 April.
Sebuah lagi rumah keluarga Palestin di al-Khalil dirampas pada bulan Disember lalu, kemudian dijadikan pengkalan tentera. Keluarga terbabit dilarang memasuki dua tingkat teratas rumah mereka sendiri.
Dalam semua kes di atas, rumah penduduk Palestin terbabit terletak di kawasan masyarakat Palestin yang tidak jauh dari penempatan haram Yahudi. Di kawasan Ya’bad contohnya, terdapat lima pos penempatan haram. Oktober lalu, remaja Palestin berumur 14 tahu diserang oleh sekumpulan pendatang haram dari Mevo Dotan ketika beliau sedang memetik buah zaitun di kebun keluarganya.