Setiap Orang Islam Bertanggungjawab Ke Atas Palestin

SHAH ALAM, 20 Jun 2012 (BHP) — Palestin bukan semata-mata bumi rakyat Palestin, bahkan ianya adalah milik seluruh umat Islam baik dari kalangan rakyat Malaysia mahupun China. Setiap orang Islam memikul hak untuk menyelamatkan bumi anbiyak itu.

Demikian kata Sheikh Mohammed Hamdi Khalil, seorang warga Gaza yang turut menyertai program Ramadan Bersama Huffaz kali ini. Beliau yang memegang kelulusan Sarjana dalam bidang Usuludin itu berkata demikian dalam tazkirah ringkas selepas mengimamkan solat terawih di Surau Al-Falah di Kampung Batu 7, Jalan Kebun di sini.

Selain daripada mendapat sijil hafazan al-Quran dari Kementerian Wakaf Palestin, Sheikh Mohammed juga berkelulusan ilmu tajwid daripada Kementerian Wakaf dan Darul Quran Wal Sunnah di Gaza.

Dalam tazkirah beliau, Sheikh Mohammed menceritakan bagaimana para sahabat Rasulullah SAW dan tabiin berkorban jiwa dan harta mereka demi mempertahankan dan menyebarkan risalah Islam. Semua umat Islam hari ini wajar mengambil contoh tersebut dan bersatu dalam mempertahankan Islam yang sedang diancam dari segenap sudut.

Menyentuh tentang apa yang berlaku di Palestin, beliau menjelaskan bagaimana umat Islam di sana memikul siksaan dan kepayahan, kerana mereka faham bahawa mempertahankan dan membebaskan bumi Palestin serta Masjid al-Aqsa adalah satu tuntutan Islam yang jelas.

“Apa peranan kita untuk membantu Palestin?,” tanya beliau kepada para hadirin. “Semua orang bertanggungjawab. Seorang guru bertanggungjawab memberi kesedaran kepada murid-muridnya. Begitu juga seorang ibu, dia perlu sedarkan anak-anaknya. Seorang imam pula wajib menyedarkan ahli kariahnya tentang permasalahan Palestin. Sedarkan mereka, terapkan sampai mereka sayang kepada bumi Palestin sebagaimana mereka sayangkan Kuala Lumpur!”

Menyentuh tentang langah praktikal untuk menanam rasa tangungjawab tersebut, Sheikh Mohammed mencadangkan supaya setiap rumah menyediakan tabung yang dinamakan sebagai Tabung Al-Aqsa. “Sehinggalah anak kita besar, mereka akan terbina rasa tanggungjawab, dan mereka akan sentiasa sedar bahawa di sana ada sebuah masjid yang sedang dikepung, ada sebuah bumi Islam yang sedang dijajah. Sebagaimana mereka sayangkan bumi Malaysia, mereka juga harus sayang kepada bumi Al-Aqsa,” nasihat beliau.

Beliau juga menyarankan supaya masyarakat Malaysia terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang dihimpit oleh kezaliman rejim Zionis. “Anda boleh bantu anak-anak yatim, ibu tunggal, bantulah mereka mendapatkan tempat berteduh. Anggaplah rumah anda di Malaysia ini sebagai sebuah rumah untuk kegunaan di dunia, tetapi rumah yang anda bantu mereka bina di Gaza itu adalah rumah anda di Syurga kelak.”

Sambil mengulang-ulang rasa gembira dapat bertemu umat Islam di Malaysia, beliau mengakhiri tazkiranya dengan berdoa agar suatu hari nanti Allah SWT mengumpulkan para hadirin di Baitulmaqdis, sebagaimana mereka berkumpul di Surau Al-Falah pada malam tersebut.

 

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts