AL-QUDS, 5 Mei 2016 (PIC) — Tiga hari sebelum memulakan tahanan dalam penjara untuk selama sembilan bulan, pemimpin Gerakan Islam di Wilayah Palestin 1948 Sheikh Raed Salah menyeru supaya Masjid al-Aqsa dan al-Quds terus dipertahankan.
Mahkamah Agung Zionis menolak rayuan Sheikh Salah ke atas keputusan menyabitkan beliau dengan tuduhan menghasut. Bagaimanapun hukuman yang akan bermula pada 8 Mei ini dikurangkan dari 11 bulan kepada sembilan bulan.
“Saya akan menyendiri beriktikaf selama sembilan bulan akan datang dan saya tinggalkan masjid suci al-Aqsa dan al-Quds yang terjajah ke atas bahu kamu untuk mempertahankannya,” tulis Sheikh Raed di laman Facebook beliau.
Beliau dijatuhkan hukuman setahun lalu, atas tuduhan menghasut dalam satu khutbah Jumaat di Wadi al-Jouz yang beliau sampaikan pada tahun 2007.
“Hukuman Zionis tidak sekali-kali mengancam saya dan tidak akan berjaya mematahkan perjuangan dan prinsip saya,” tambah beliau, yang juga terkenal sebagai Sheikh al-Aqsa.
Beliau seterusnya menyeru penduduk Palestin supaya hadir beramai-ramai ke Masjid al-Aqsa untuk berhadpaan dengan pencerobohan dan pencabulan pelampau Yahudi ke atas tapak suci umat Islam itu.
Beliau sebelum ini pernah ditangkap tiga kali, atas tuduhan remeh dan meragukan seperti kali ini.