Siasatan Bebas : Zionis Bunuh Penduduk Awam Gaza Secara Sengaja

GAZA, 29 Jan 2015 (reliefweb) — Laporan terkini yang diterbitkan oleh sepasukan misi pencarian fakta bebas mendedahkan tindakan tentera Zionis membunuh penduduk awam secara sengaja dalam serangan ke atas Gaza pada musim panas lalu. Antara tindakan sengaja yang disebut dalam laporan tersebut termasuklah menggunakan orang awam sebagai perisai, pembunuhan orang awam dari jarak dekat, menyasarkan petugas perubatan, dan banyak lagi.

Laporan yang berdasarkan kepada lawatan ke lokasi dan kajian yang dijalankan oleh Physicians for Human Rights-Israel (PHR-Israel) itu juga dibuat bersama beberapa lagi badan hak asasi dan pertubuhan kesihatan yang lain. PHR-Israel secara khusus menyebut bahawa mereka telah melantik lapan orang pakar perubatan antarabangsa yang bebas serta tidak terkait dengan mana-mana pihak dari Palestin atau rejim Zionis yang terlibat dalam konflik, dan juga beberapa orang pakar yang tersohor dalam beberapa bidang perubatan, kesihatan dan hak asasi manusia. Jennifer Leaning, Pengarah Pusat Kesihatan dan Jabatan Hak Asasi Manusia Kesihatan dan Penduduk Dunia di Universiti Harvard, merupakan salah seorang pakar yang dipilih untuk memantau laporan tersebut.

Siasatan ini juga disokong oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa yang ternama termasuk American Association for the Advancement of Science, the Science and Human Rights Program, the British Shalom-Salaam Trust, Christian Aid dan the Open Society Foundation.

Dalam ringkasan eksekutifnya, misi pencarian fakta tersebut menganggarkan bahawa sepanjang serangan selama 50 hari ke atas penduduk Gaza,

  • lebih 2,100 orang Palestin telah terkorban;
  • sekurang-kurangnya 70% daripada mereka yang terkorban adalah penduduk awam;
  • lebih 500 kanak-kanak terkorban;
  • lebih 11,000 orang tercedera; dan
  • sekurang-kurangnya 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Laporan PHR-Israel turut memberi perhatian kepada insiden yang telah berlaku ke atas perkampungan Khuzaa, di mana tentera Zionis menembak ke arah sekumpulan penduduk awam yang melarikan diri dari kepungan sambil membawa bendera putih dan melaungkan “damai, damai.”

Antara lain, tentera Zionis dilaporkan telah melakukan jenayah berikut sepanjang tempoh serangan:

  • menjadikan penduduk awam sebagai perisai;
  • menembak penduduk awam dari jarak dekat;
  • membiarkan kanak-kanak yang tercedera parah sehingga mati, walaupun askar terbabit sebenarnya telahpun bertentang mata dengan mangsa;
  • melakukan beberapa serangan berterusan ke atas kawasan yang sama (“double traps”), membunuh mangsa yang tercedera dan mereka yang cuba menyelamatkan mangsa yang tercedera;
  • menyerang hospital secara sengaja;
  • menghalang pemindahan perubatan kecemasan, termasuklah usaha pemindahan yang dilakukan oleh pertubuhan antarabangsa seperti Red Cross;
  • membunuh dan mencederakan banyak pasukan perubatan yang memindahkan mangsa;
  • enggan membenarkan penduduk awam keluar dari kawasan yang diserang;
  • menyerang laluan-laluan keluar penduduk awam;
  • mengebom ambulan;
  • menyerang penduduk awam yang cuba meninggalkan kawasan yang diserang;
  • memukul penduduk awam;
  • menghalang bekalan makanan dan air kepada penduduk awam;
  • dan beberapa lagi.

Laporan itu juga mengadungi maklumat tentang penggunaaan senjata luar biasa dan senjata ujian, menyebabkan kecederaan yang disifatkan sebagai “pelik dan sukar untuk dijelaskan.” Antara senjata yang digunakan adalah:

  • peluru flechette (yang mana para doktor dilaporkan terpaksa mengeluarkannya dari bahagian muka kanak-kanak melalui pembedahan);
  • bom “tong letupan”, yang juga dikenali sebagai senjata “Tzefa Shirion,” yang diperbuat untuk membersihkan periuk api, tetapi dijatuhkan ke atas penduduk awam;
  • apa yang disyaki sebagai senjata DIME (Dense Inert Metal Explosive), yang menyebabkan pembakaran dan amputasi luarbiasa dengan kulit menjadi arang hitam tetapi tidak mengeluarkan bau daging yang terbakar dan tompokan hitam di sekeliling bahagian badan yang kudung terpisah dari anggotanya;
  • senjata yang mengadungi cip komputer dengan tanda “Sony” pada serpihan peluru di dalam badan mangsa;
  • dan gas yang tidak diketahui jenisnya, bahan bewarna putih yang berbau busuk seperti kotoran najis yang boleh dihidu dari jarak 500 meter dan membakar kulit mangsa serta menyebabkan masalah pernafasan.

Misi pencarian fakta perubatan ini juga menarik perhatian bahawa majoriti besar kecederaan yang membawa maut dan memerlukan rawatan di hospital adalah disebabkan oleh letupan atau terkena runtuhan, kebanyakannya kecederaan yang kompleks dan pelbagai jenis. Kira-kira separuh daripada penduduk Gaza yang ditemubual mendakwa mereka telah diserang di rumah mereka.

Geraf menunjukkan lokasi yang membawa kecederaan kepada mangsa.
Geraf menunjukkan lokasi yang membawa kecederaan kepada mangsa.

Laporan tersebut menyatakan bahawa serangan tentera Zionis disifatkan sebagai pengeboman ke atas kawasan penempatan awam dengan sangat hebat dan tidak dapat diramal, dengan cara yang tidak membezakan di antara sasaran ketenteraan dan kawasan penempatan awam sehingga menyebabkan kerosakan yang teruk dan meluas ke atas rumah dan harta awam. Serangan rambang menggunakan kapal terbang, dron, artileri, kereta kebal dan kapal perang ini tidak mungkin dibuat atas keputusan individu askar-askar atau komander terbabit; ianya sudah tentu melibatkan kelulusan atau arahan daripada pihak atasan tentera atau kerajaan Zionis.

Ia juga menunjukkan bahawa “tidak ada tempat yang dijamin selamat di Gaza,” bahkan tidak ada laluan keluar yang selamat daripada serangan. Barisan pakar ini menuduh rejim Zionis melakukan pencabulan yang serius ke atas hak manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan.”

Selepas serangan

Laporan ini juga dibuat dengan berdasarkan kepada temubual ke atas mangsa, saksi, profesional perubatan dan petugas hak asasi, pegawai kerajaan tempatan dan wakil-wakil pertubuhan kesihatan antarabangsa. Bukti-bukti forensik, perubatan dan bahan-bahan lain juga dikumpul untuk dijadikan sebagai bahan sokongan saintifik ke atas keterangan yang dibuat secara lisan.

PHR-Israel telah menemuramah 68 orang pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan dalam serangan. Transkrip temuramah juga dimasukkan ke dalam laporan. Majoriti mereka yang ditemuramah selepas serangan mengalami masalah:

  • insomia,
  • kenangan atau imbasan kepada kejadian,
  • mimpi dan igauan buruk,
  • kemurungan,
  • penurunan berat badan,
  • kehilangan selera makan,
  • keadaan emosi yang tidak stabil.

Selepas serangan, misi pencarian fakta melaporkan

  • ketegangan dan kekurangan sumber di hospital;
  • masalah untuk menghantar pesakit dari hospital Gaza ke hospital luar untuk mendapatkan rawatan;
  • kehilangan tempat tinggal untuk tempoh yang lama kerana kerosakan atau kemusnahan 18,000 rumah;
    kesan psikososial dan kesihatan mental dalam tempoh yang lama; dan
  • keperluan yang mendesak bagi khidmat pemulihan, dalam keadaan sumber yang tidak mengcukupi untuk membuat pemulihan tersebut.

Kemungkinan Jenayah Perang

Dalam saranan mereka, PHR-Israel menyeru kepada pihak antarabangsa termasuk PBB, Kesatuan Eropah, dan Amerika, untuk “memastikan kerajaan Zionis dan Mesir membenarkan dan memudahcara kemasukan pasukan penyiasat ke Gaza, termasuk pakar undang-undang hak asasi dan pakar persenjataan,” sambil mendedahkan bahawa perkara ini belum lagi berhasil walaupun berbulan-bulan selepas serangan berakhir.

Rejim Zionis menghalang pertubuhan hak asasi ternama, Amnesty International dan juga Human Rights Watch, daripada memasuki Gaza pada bulan Ogos 2014 untuk membuat penyiasatan. Misi pencarian fakta perubatan ini merupakan usaha penyiasatan berskala besar yang pertama pernah dijalankan di Gaza sejak serangan musim panas itu berakhir.

PHR-Israel juga menyeru masyarakat antarabangsa menyokong usaha-usaha penyiasatan yang dijalankan oleh pertubuhan sosial tempatan Palestin bagi mengumpul bukti di Gaza, bagi meneruskan prosedur undang-undang dan/atau mendapatkan keadilan mahupun pampasan. Bukti yang dilaporkan oleh PHR-Israel juga dicadangkan supaya diguna untuk tujuan proses undang-undang tentang pencabulan hak asasi dan undang-undang kemanusiaan.

Palestin akan menyertai International Criminal Court (ICC) pada 1 April 2014. Pada bulan Januari 2014, pendakwaraya mahkamah telah melancarkan siasatan awal terhadap kemungkinan berlakunya jenayah perang di dalam wilayah-wilayah Palestin yang dijajah.

Rejim Zionis, dan sekutu-sekutu Amerikanya, sering merujuk tentera Zionis sebagai “askar yang paling bermoral di dunia.” Pada bulan Julai 2014 di tengah-tengah kehangatan serangan ke atas Gaza, Ambasador Zionis ke Amerika, Ron Dermer, bertegas bahawa tentera Zionis berhak mendapat sebuah hadiah keamanan Nobel di atas sikap “bertahan diri yang tidak dapat dibayangkan” yang mereka amalkan di Gaza, dan Zionis seharusnya dikagumi oleh masyarakat antarabangsa di atas sikap mereka yang dikatakan sangat berhati-hati dalam peperangan.

Laporan PHR-Israel mendapati sifat yang bertentangan daripada dakwaan Dermer itu.

Laporan penuh boleh dicapai di sini.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts