Tahanan Dinafikan Rawatan Kritikal

RAMALLAH, 1 Okt 2015 (IMEMC) — Pihak pentadbiran Penjara Ramla secara beterusan mengabaikan rawatan kritikal yang diperlukan oleh tahanan yang menanggung penyakit kronik atau kecederaan yang dialami.

Peguam kepada Jawatankuasa Tahanan Palestin, Hanan al-Khatib, melaporkan bahawa terdapat 20 tahanan Palestin di dalam klinik penjara tersebut, di mana ianya tidak dilengkapkan dengan peralatan asas, ubat-ubatan mahupun doktor pakar. Tahanan tidak diberikan sebarang ubat kecuali pil tahan sakit.

“Kira-kira separuh daripada mereka yang ditahan di klinik Penjara Ramla adalah cacat dan kudung kaki atau tangan,” kata Hanan. “Sebahagian daripada mereka mengidap sakit kanser atau penyakit kronik lain, dan berhadapan dengan risiko kematian.”

“Salah seorang daripada tahanan, Nahedh al-Aqra’ dari Gaza, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup,” tambah beliau. “Mereka potong kedua belah kakinya kerana kehilangan darah yang banyak; dia melalui empat kali pembedahan.”

Hanan juga memaklumkan bahawa tahanan Mansour Mouqada, Khaled Shaweesh, Mo’taz ‘Obeido, Salah at-Teety, Mo’tasem Raddad, Ashraf Abu al-Hoda, Shadi Daraghma, Morad Sa’ad dan Rateb Harbiyyat semuanya berhadapan dengan masalah kesihatan yang serius dan rumit.

Tegas Hanan lagi, Ashraf Abu al-Hoda, 36 tahun, yang berasal dari Nablus tidak diberikan sebarang rawatan atas kecederaan yang ditanggung akibat tembakan oleh tentera Zionis sejak bulan Mac lalu sehinggakan beliau lumpuh. Sebaliknya, beliau terpaksa mengambil 10 biji pil tahan sakit setiap hari.

Bahkan ada pesakit yang terpaksa tidur sehingga 22 jam sehari untuk cuba mengurangkan rasa sakit.

Manakala Shadi Daraghma yang berasal dari kem pelarian Qalandia juga lumpuh sejak diculik pada 7 Ogos 2014. Sehingga kini beliau masih ditahan tanpa sebarang pertuduhan.

Lebih 1,500 orang tahanan Palestin mengalami berbagai jenis penyakit dan masalah kesihatan, kebanyakannya akibat tidak mendapat rawatan yang diperlukan, bilik tahanan yang tercemar dan juga penderaan. Doktor dari luar tidak dibenarkan merawat mahupun memeriksa keadaan tahanan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts