Tentera Israel terus menembak orang awam yang lari dari serangan

Yusef And al-Karim Barakeh Abu Hajaj adalah seorang penduduk di Johr al-Dik. Beliau memberikan testimoni berikut melalui perbualan talipon bersama wakil B’Tselem, Atef Abu al-Rub, pada 6 Januari 2009.

——–

teriakan-ibuKami tinggal di sebuah kawasan pertanian yang tidak begitu diduduki di tengah-tengah Semenanjung Gaza.

Pagi Ahad 4 Januari, 15 orang dari keluarga kami berada di rumah. Tentera Israel bersiap siaga pada jarak 300 meter ke arah barat dari rumah kami. Malam sebelumnya, tentera Israel telah mula mengebom kawasan tersebut. Rumah kami tidak terkena serangan secara tepat. Kami mengira kawasan tempat tinggal kami cukup selamat, memandangkan tidak ramai yang tinggal di situ dan tidak ada pengkalan-pengkalan tentera mahupun institusi kerajaan.

Kira-kira pukul 7 pagi, sebuah kereta kebal Israel menembak ke arah rumah kami. Kami putuskan untuk keluar dan berlindung di rumah jiran, Hussein al-Aydi. Beberapa ketika kemudian, terdengar arahan tentera supaya rumah di kawasan tersebut ditinggalkan, jadi kami pun cuba untuk bergerak ke tempat lain. Kami keluar bersama keluarga jiran tersebut, menjadikan 25 orang semuanya.

Bila bergerak keluar, kami mengangkat kain putih dengan harapan tentera sedar bahawa kami adalah orang awam. Kami bimbang mereka akan menembak kami, tapi kami terus saja berjalan kerana sebenarnya tidak ada pilihan lain lagi. Wanita dan kanak-kanak bersama kami. Apabila kami tiba di satu tempat bertentangan dengan kereta-kereta kebal, mereka menembak kami. Ibu saya tertembak dan jatuh. Kemudian, kakak saya Majda ditembak dari belakang. Kedua-duanya terbunuh. Kami berlari undur semula ke arah rumah Hussein al-Ayadi. Ibu dan Majda terpaksa dibiarkan terbaring di situ.

Kami terus membuat panggilan ke pasukan Palang Merah dan Sabit Merah supaya mereka dapat membantu untuk memindahkan jasad ibu dan kakak. Tapi kerana serangan berterusan, tidak ada siapa yang dapat ke sana. Keesokannya, kami terpaksa meninggalkan kawasan tersebut.

Sekarang kami tinggal di sebuah sekolah di Nuseirat. Kami tidak dapat menguruskan jasad ibu dan Majda yang masih kelihatan di sana. Entahlah bila kami akan dapat menguruskan mereka. Keadaan amat sesak di sekolah ini, jadi sebahagian dari keluarga kami pergi mencari tempat lain untuk berlindung. [ei]

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts