Tentera Zionis paksa Mohammed al-Tamimi mengaku kecederaannya kerana kemalangan

RAMALLAH, 28 Feb 2018 — Ayah kepada Mohammaed al-Tamimi yang ditembak oleh tentera Zionis sehingga memecahkan satu-per-tiga tempurung kepalanya, Fadel, mengatakan anaknya itu telah dipaksa mengaku bahawa kecederaannya adalah akibat kemalangan terjatuh dari basikal elektrik.

Mohammed, 15, ditembak dengan peluru bersalut getah di bahagian mukanya dalam satu konfrontasi di perkampungan Nabi Saleh pada bulan Disember lalu, beberapa ketika sebelum sepupunya Ahed al-Tamimi dirakam menampar askar Zionis yang berada di perkarangan rumahnya.

Peluru tersebut menembusi bahagian bahawa hidungnya dan tersekat di belakang tempurung kepala, sehingga Mohammed dipengsankan selama 72 jam untuk menjalani beberapa pembedahan membuang sebahagian daripada tempurung kepalanya.

Koordinator rejim Zionis di Ramallah, Yoav Mordechai, membuat kenyataan bahawa Mohammed telah mengaku beliau tercedera akibat kemalangan basikal elektrik, di mana kepalanya terhentak hendal basikal. Sedangkan insiden tembakan tersebut telah disaksikan oleh lapan orang, di samping laporan perubatan dan x-ray yang mengesahkan keadaannya.

Menurut Fadel, anaknya dipaksa membuat pengakuan dalam interogasi pihak perisikan Zionis setelah ditampar oleh seorang penyiasat di sebelah kiri kepalanya, tempat beliau tercedera. Tentera turut merampas ubat anaknya, dan enggan menyerah kembali jika tidak membuat pengakuan bahawa beliau tidak ditembak oleh tentera.

(PIC, Mondoweiss)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts