NABLUS, 7 Jan 2016 (Maan) — Tentera Zionis pagi tadi merampas sebuah buldozer yang digunakan oleh penduduk Palestin untuk memulih dan membersih tanah pertanian di kawasan al-Khirbeh yang terletak di antara Aqraba dan bandar Majda Bani Fadil, Nablus.
Pemulihan tanah merupakan satu isu yang ketara di Palestin, di mana undang-undang Zionis membenarkan tanah yang tidak diusahakan oleh tuannya selama lebih tiga tahun dirampas menjadi “tanah negara.”
Tanah yang didakwa oleh rejim Zionis sebagai “tanah negara” di Tebing Barat sering digunakan untuk membina penempatan haram khusus untuk kaum Yahudi.
Menurut Applied Research Institute of Jerusalem (ARIJ), rejim penjajah Zionis telah merampas tanah Palestin di bandar Aqraba dan kawasan perkampungan berdekatan untuk membina penempatan haram di situ. Menurut laporan ARIJ, petani Palestin di Aqraba tidak dapak memasuki tanah kebun mereka kerana dipagari dengan kawat berduri oleh pendatang Yahudi. Bahkan mereka juga sering diserang oleh pendatang Yahudi.