Ringkasan

Tragedi Masjid Ibrahimi Berbekas Hingga Kini

BANDAR BARU BANGI, 25 Feb 2014 — Pada hari ini 20 tahun lalu di waktu subuh hari Jumaat dalam bulan Ramadhan, pengganas Yahudi Baruch Goldstein telah membunuh seramai 29 orang Palestin dan mencederakan 250 yang lain ketika mereka sedang sujud mendirikan solat di Masjid Ibrahimi di Al-Khalil (Hebron). Penduduk tempatan menganggarkan angka korban sebenar mencecah sehingga 70 orang.

Susulan tragedi itu, puluhan lagi rakyat Palestin terkorban dalam serangan tentera Zionis ketika mereka mengadakan protes terhadap pembunuhan kejam itu di perkarangan Masjid Ibrahimi, di luar Hospital Ahli di Al-Khalil, bahkan juga di kawasan perkuburan ketika mangsa-mangsa dikebumikan.

Kerajaan Zionis segera mengutuk serangan Goldstein dan mendakwa beliau bertindak bersendirian dalam keadaan tidak waras. Namun ramai daripada mereka yang terselamat dalam kejadian tersebut melaporkan mereka ditembak oleh seorang lagi pengganas. Kata mereka, ianya adalah satu serangan yang dirancang dan diketahui terlebih dahulu oleh tentera Zionis.

Dalam kejadian di Masjid Ibrahimi pada 25 Feb 1994 itu, para jemaah yang terselamat daripada semburan peluru dan grenad Goldstein telah bertindak menangkap dan memukul beliau sehingga mati. Sehingga ke hari ini, para pelampau Yahudi terus berkunjung ke kubur Goldstein dan menari-nari di situ sebagai satu acara bagi menghargai jenayah beliau terhadap rakyat Palestin. Di situlah juga Rabbi Yaacov Perrin berkata “sejuta orang Arab tidak akan sama nilainya dengan satu kuku jari orang Yahudi.”

Goldstein yang berhijrah ke negara haram Israel dari Brooklyn, Amerika pada tahun 1983 merupakan seorang ahli pertubuhan rasis Meir Kahane yang diharamkan, yang membawa agenda mengusir seluruh bangsa Palestin daripada wilayah “Israel Raya.” Beliau juga merupakan seorang doktor perubatan yang tinggal di kawasan penempatan haram Kiryat Arba di Al-Khalil.

Kesan keganasan Goldstein terus berbekas pada setiap jiwa penduduk Palestin di Al-Khalil hingga ke saat ini, di mana rejim Zionis mengadakan sekatan keselamatan dan diskriminasi yang sangat tidak munasabah ke atas mereka.

Jalan utama di Al-Khalil, Shuhada Street, ditutup sebahagiannya kepada rakyat Palestin sejurus selepas pembunuhan itu. Sebanyak 520 buah kedai milik rakyat Palestin di sepanjang jalan itu ditutup dengan serta merta, dan sebahagian besar penutupan itu masih kekal hingga ke hari ini.

Enam tahun selepas tragedi pembunuhan itu apabila perjuangan Intifadah bermula, rejim Zionis mengisytiharkan jalan tersebut sebagai “kawasan larangan tentera” dengan menyekat kemasukan rakyat Palestin. Kalau dibenarkan masuk sekalipun, penduduk Palestin di sekitar jalan tersebut dibenarkan masuk hanya dengan berjalan kaki. Satu-satunya cara untuk masuk adalah dengan menjadi seorang Yahudi atau pelancong asing!

Suasana ketenteraan di Al-Khalil kekal dirasai sejak tahun 1994, sehinggakan ramai tidak lagi dapat pergi berjamaah di Masjid Ibrahimi yang penuh dengan sejarah itu. Pagar elektronik dan proses saringan keselamatan ala lapangan terbang yang lengkap dengan mesin X-ray ke atas setiap mereka yang berkunjung ke Masjid Ibrahimi benar-benar menjejaskan kehadiran para jemaah.

Adel Idris, imam Masjid Ibrahimi ketika berlakunya tragedi 1994 itu mengimbau kembali, “saya tidak akan sekali-kali dapat melupakan apa yang telah terjadi. Setiap kali saya memasuki kawasan itu untuk mengerjakan solat, saya akan teringat kepada kejadian itu – pengganas itu menembak, dentuman peluru dan jeritan para jemaah… satu detik yang tidak mungkin dapat digambarkan semula.”

Jelas sekali bahawa tentera Zionis kini menghukum mangsa-mangsa keganasan angkara cetusan Goldstein.

Al-Khalil sehingga kini dibahagikan kepada dua kawasan yang masing-masing dikawal oleh rejim Zionis dan Palestinian Authority, selepas Perjanjian Hebron pada tahun 1997. Begitu juga dengan Masjid Ibrahimi, di mana ia dibahagikan kepada dua bahagian, satu kawasan sinagog untuk Yahudi dan satu lagi kawasan untuk Muslimin.

Lebih 500 peneroka Yahudi tinggal di bandar lama Al-Khalil, di mana majoriti daripada mereka menduduki rumah-rumah rakyat Palestin yang mereka rampas dan paksa pemiliknya keluar. Mereka ini dilindungi oleh ribuan tentera Zionis. Bahkan sudah menjadi kebiasaan bagi mereka mengganggu, mengherdik dan menghina penduduk Palestin.

Jumaat lalu, puluhan rakyat Palestin turun ke Shuhada Street mengadakan protes dan demonstrasi supaya ia dibuka semula. Sekurang-kurangnya 13 rakyat Palesitn tercedera dan lima lagi ditangkap setelah tentera Zionis dengan ganas cuba meleraikan demonstrasi aman tanpa senjata tersebut.

Semoga Al-Khalil dan seluruh bumi Palestin akan kembali semula ke tangan mereka yang taat kepada Allah dan menghormati nilai kemanusiaan, sebagaimana yang telah termaktub dalam lipatan sejarahnya. Di situlah pejuang tauhid seperti Nabi Ibrahim AS dan isterinya Sarah, Nabi Ishak AS dan isterinya Ribka serta Nabi Ya’kub AS dan isterinya Leah dimakamkan. Al-Khalil tidak layak didiami oleh puak Zionis yang amat hina pekertinya.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts