AL-QUDS, 23 Nov 2015 (Silwanic) — Pendatang Yahudi meneruskan pencerobohan mereka ke atas masjid suci Al-Aqsa, dengan penuh provokasi dan berpura-pura sebagai pelancong asing. Mereka dilindungi oleh pasukan khas polis yang mengiringi dua sesi pencerobohan, iaitu masing-masing di waktu pagi dan petang.
Mereka menceroboh masuk dalam kumpulan secara berurutan melalui Pintu al-Magharibeh yang sehingga ke hari ini dikawal oleh pihak berkuasa rejim Zionis. Mereka akan berarak di dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa sehingga tiba di Pintu Al-Silsileh, di mana mereka lazimnya akan berhadapan dengan para jemaah yang melaungkan takbir Allahu Akbar.
Mereka berarak dalam keadaan berkaki ayam untuk “tidak mencemari kesucian” kawasan masjid, yang dianggap sebagai bekas tapak kuil suci mereka. Selepas keluar melalui Pintu Al-Silsileh, mereka akan melakukan ritual dengan menari dan juga berbaring di atas lantai. Polis Zionis mengawal keselamatan mereka sepenuhnya, bahkan kadang-kala menyertai mereka melakukan ritual.
Dalam pada itu, seramai 60 wanita Palestin diharamkan memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa atas alasan mencetus kekacauan. Polis menghalang sesiapa sahaja yang mendekati pendatang Yahudi dan boleh menangkap mereka atas alasan “menghalang tugas polis.”