AL-QUDS, 27 Apr 2016 (Maan) — Suasana kecoh masih berterusan hari ini apabila lima orang pelampau Yahudi dihalau keluar ketika lebih seratus orang Yahudi mengadakan perarakan di perkarangan Masjid al-Aqsa sempena perayaan Paskah mereka.
Para pelampau Yahudi menceroboh masuk melalui Pintu al-Magharbeh, di mana empat daripada mereka melakukan ritual dan seterusnya bernyanyi sambil menari berdekatan Pintu al-Silsileh sebelum dihalang oleh para murabitun yang melaungkan takbir Allahu Akbar. Berikutan insiden tersebut lima pelampau, termasuk seorang kanak-kanak, diiring keluar oleh polis Zionis.
Kempen kumpulan pelampau Yahudi yang menyeru supaya Masjid al-Aqsa dimusnahkan bagi memberi laluan kepada pembinaan “Kuil Ketiga” membuatkan semakin ramai Yahudi cuba melakukan ritual mereka di situ, sekaligus menimbulkan ketegangan.
Perjanjian pada tahun 1967 di antara rejim Zionis dan kerajaan Jordan, yang bertanggungjawab menjaga Masjid al-Aqsa, membenarkan Yahudi melawat tapak suci umat Islam itu. Namun mereka tidak dibenarkan melakukan ritual Yahudi.