Khamis, 7 Okt, Tebing Barat — Tentera Zionis membunuh 2 dan menangkap lebih 10 orang pejuang Briged Al-Qassam yang lain dalam satu serangan besar-besaran di Al-Khalil di selatan Tebing Barat sejurus selepas tengah malam.
Serangan selama kira-kira 8 jam itu disertai oleh lebih 40 buah kenderaan tentera dan beberapa buah jentolak, diiringi dengan kawalan penerbangan helikopter di kawasan pergunungan Jawhar.
Tentera Zionis mengepung sebuah rumah tiga tingkat milik Radwan Rajabi, Saadi Borqan dan Ayyoub Gheith, dan beberapa buah rumah lain milik saudara-mara mereka di sekitar kawasan itu. Mereka diarahkan keluar daripada rumah masing-masing dan menuju ke jalanan, sebelum tentera Zionis bertindak menembak ke arah rumah-rumah tersebut menggunakan misil. Tentera Zionis turut meruntuhkan pagar dan sebahagian daripada rumah-rumah dengan menggunakan jentolak.
Pejuang-pejuang yang terbunuh adalah Nashat Al Karmi, 33 tahun yang berasal dari bandar Tulkarm dan Mamon Al Natsheh, 24 tahun yang berasal dari Al-Khalil. Antara mereka yang ditangkap adalah Najib Taha, Helmi Zaru, Mohammad Rajabi, Musab al-Atrash dan Ibrahim Abu Rumoz.
Ratusan penduduk bertindak melontar batu dan botol ke arah askar-askar Zionis yang mengawal mayat dua pejuang yang terkorban itu, menyebabkan mereka berundur. Tindakan ini membolehkan mayat kedua-dua pejuang dibawa ke sebuah hospital berdekatan Sekolah Tariq ibn Ziyad.
WorldBulletin melaporkan askar-askar Zionis turut menggeledah kawasan berkenaan dan merampas kamera kepunyaan jurnalis-jurnalis yang berada di tempat kejadian.
Menteri Pertahanan, Ehud Barak memuji kejayaan tentera Zionis ini. Tentera Zionis masih lagi mengenakan perintah berkurung di Al-Khalil dan tembakan antara pejuang-pejuang Palestin dan tentera Zionis dilaporkan masih berlaku. Zionis melarang pihak media daripada memasuki kawasan berkenaan. [mn/JPost/IMEMC]