Zionis Marah Kesatuan Eropah Label Produk, Gantung Mesyuarat

TEL AVIV, 11 Nov 2015 (MEE) — Rejim Zionis menggantung semua mesyuarat dengan Kesatuan Eropah (EU) sebagai bantahan kepada tindakan kesatuan tersebut mengeluarkan panduan supaya semua produk yang dikeluarkan dari kawasan penempatan haram Yahudi dilabelkan dengan jelas.

Kenyataan Kementerian Luar Zionis hari ini menyebut, “Oleh kerana keputusan terkini EU, Israel menggantung dialog diplomatiknya dengan EU yang telah dijadualkan berlangsung dalam berbagai bentuk forum sepanjang minggu-mingu akan datang.”

Sebelum pengumuman tersebut dibuat, pemimpin Zionis Benyamin Netanyahu membandingkan keputusan EU itu dengan tindakan boikot yang telah diambil oleh Nazi terhadap perniagaan kaum Yahudi. Selepas Nazi mengambil alih pemerintahan negara Jerman pada tahun 1933, mereka mengenakan boikot ekonomi ke atas Yahudi di negara tersebut dengan mengarahkan supaya masyarakat tidak membeli barang jualan mereka.

Suruhanjaya EU semalam memutuskan untuk melabelkan semua produk Zionis yang dijual di blok ekonomi terbesar di dunia itu. Semua pasar raya dan peruncit lain di Eropah diwajibkan melabel produk yang dibuat di kawasan penempatan haram di Al-Quds Timur, Tebing barat dan Bukit Golan. Tindakan ini secara tidak langsung mengisytiharkan bahawa EU tidak mengiktiraf penjajahan Zionis ke atas Bukit Golan dan juga wilayah Palestin, yang semuanya dijajah dalam Perang Enam Hari 1967.

Penempatan Yahudi di kawasan tersebut diisytiharkan sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Menurut ketua perdagangan luar di Kementeria Ekonomi Zionis, Ohad Cohen, langkah EU ini akan hanya memberi kesan kepada produk pertanian, minuman keras dan barang solekan, yang dianggarkan akan menanggung rugi sebanyak US$50juta.

Pemerhati melihat tindakan EU ini sebagai langkah positif, tetapi tindakan yang diambil adalah jauh daripada mencukupi. EU seharusnya mengharamkan sebarang bentuk perdagangan bagi produk tersebut.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts