Zionis Masih Bunuh Penduduk Gaza Walapun Umum Gencatan Senjata

euromidGENEVA, 5 Ogos 2014 (Euromid) — Sejak bermulanya serangan besar-besaran ke atas Gaza hampir sebulan lalu, Zionis telah beberapa kali melanggar undang-undang antarabangsa dengan secara sengaja menyasarkan serangan ke atas pendudukan awam dan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Euro-mid Observer for Human Rights yang berpengkalan di sini mendedahkan sikap keji rejim Zionis yang berterusan dan berkali-kali menyasarkan penduduk dan kemudahan awam di Gaza, sekaligus beberapa kali melanggar persetujuan gencatan senjata yang mereka umumkan.

Kemudahan PBB yang menempatkan ribuan penduduk yang terpaksa meninggalkan rumah mereka juga menjadi sasaran. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 38 orang telah terkorban apabila tentera Zionis menyasarkan tiga buah sekolah UNRWA di Beit Hanoun, Jabalia dan Rafah. 10 lagi tercedera.

Sekolah yang menjadi sasaran serangan termasuklah Sekolah Tinggi Perempuan Al-Maghazi yang diserang pada 21 Julai, Sekolah Tinggi Perempuan Deir Al-Balah pada 23 Julai, Sekolah Rendah Beit Hanoun pada 24 Julai, Sekolah Tinggi Perempuan Zaitoun pada 29 Julai, Sekolah Rendah Perempuan Jabalia pada 3 Ogos dan Sekolah Rendah Lelaki Rafah pada 3 Ogos.

Keganasan terkini termasuklah perlanggaran gencatan senjata yang diumumkan sendiri oleh rejim Zionis secara sebelah pihak, yang bermula pada jam 10:00 pagi Ahad. Namun pada jam 10:15 pagi, dua butir peluru berpandu menyasarkan sebuah rumah milik keluarga Al-Bakri di sebuah kem di kawasan pantai barat Gaza City. Serangan udara itu mengorbankan dua ahli keluarga Al-Bakri, iaitu seorang kanak-kanak yang berumur 8 tahun dan seorang bayi. 36 yang lain tercedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa pada hari yang dikatakan sebagai gencatan senjata tersebut kepada 56 kematian dan 198 kecederaan – separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Kematian
Dokumen yang diterbitkan oleh Euro-mid pada 4 Ogos mendedahkan bahawa pada hari ke-28 serangan, bilangan penduduk Palestin yang terkorban adalah seramai 56 orang, termasuk 22 orang kanak-kanak dan sembilan wanita. Bilangan tersebut membawa kepada jumlah keseluruhan korban sepanjang operasi seramai 1,856 orang, di mana 426 adalah kanak-kanak dan 254 wanita.

Kecederaan
Kesan pengeboman yang hebat ke atas Gaza pada 4 Ogos menyebabkan 198 orang tercedera termasuk 72 kanak-kanak dan 59 wanita. Keseluruhannya seramai 9,563 orang tercedera sejak bermulanya serangan pada 8 Julai, termasuk 2,977 orang kanak-kanak dan 1,927 wanita.

Serangan
Pada 4 Ogos, tentera Zionis telah melakukan sebanyak 330 serangan termasuk 99 serangan dari laut, 34 dari udara dan 197 dari darat menggunakan kereta kebal. Sejak bermulanya operasi, Zionis telah melancarkan sebanyak 59,200 serangan, iaitu 36,442 dari kereta kebal, 15,580 dari kapal laut dan 7,178 serangan udara.

Kemusnahan tempat tinggal
Euro-Mid juga telah menulis bahawa sebanyak tiga buah rumah dimusnahkan pada kadar setiap jam, sejak bermulanya kempen serangan. Pada hari Isnin 4 Ogos, sebanyak 121 buah rumah telah rosak di mana 19 daripadanya musnah sama sekali dan 102 buah lagi musnah sebahagiannya, menjadikan jumlah rumah yang rosak sebanyak 10,604 buah, iaitu 1,724 musnah sama sekali dan 8,880 lagi musnah sebahagiannya.

Keluarga yang kehilangan tempat tinggal
Sementara itu Euro-mid juga mengesahkan tindakan tentera Zionis menyerang secara rambang di kawasan sempadan, memaksa penduduk meninggalkan rumah mereka. Sehingga 4 Ogos, terdapat lebih daripada 475,000 orang kehilangan tempat tinggal, sebahagian daripadanya dipaksa lari daripada serangan udara dan hampir separuh daripadanya menyelamatkan diri di sekolah-sekolah UNRWA yang dikatakan lebih selamat. Namun tiga buah daripada sekolah-sekolah ini telah menjadi sasaran serangan, mengorbankan 38 nyawa.

Tempat Ibadah
Tempat ibadah juga menjadi sasaran, di mana tentera Zionis secara sengaja menyasarkan masjid-masjid. Pasukan Euro-mid melaporkan bahawa pada 4 Ogos sebanyak tujuh buah masjid telah menjadi sasaran oleh jet tentera udara Zionis, di mana tiga daripadanya musnah sama sekali dan tiga lagi mengalami kerosakan. Jumlah keseluruhan tempat ibadah yang disasarkan sejak bermulanya kempen serangan dalah sebanyak 134, termasuk 43 buah masjid yang ranap sama sekali dan dua buah gereja rosak.

Tambahan lagi, sebanyak 11 tanah perkuburan Islam dan Kristian juga rosak akibat serangan tentera udara Zionis.

Sekolah
Jumlah sekolah yag rosak terkena serangan adalah sebanyak 188 buah, menjejaskan pengajian 152,000 orang murid.

Pusat kesihatan
Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa sejak bermulanya kempen serangan, mereka terpaksa menutup sebanyak 34 daripada 55 buah pusat rawatan utama kerana menjadi sasaran serangan dan tidak dapat dimasuki oleh penduduk.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts