Zionis rampas 1,250 ekar tanah Palestin untuk bina pos penempatan haram

NABLUS, 24 Apr 2016 (Maan) — Rejim Zionis semalam menyerahkan notis kepada penduduk Palestin di perkampungan Jalud di utara Tebing Barat, mengumumkan bahawa tanah persendirian seluas 5,000 dunum (1,250 ekar) bakal dirampas.

Tindakan tersebut dilihat sebagai langkah untuk menghalalkan pos-pos penempatan haram Yahudi disekitarnya.

Pihak tentera penjajah mengenalpasti tanah yang akan dirampas di perkampungan Palestin sebagai Khallat al-Wusta, Shieb Khallat al-Wusta, dan Abu al-Kasbar. Sebelum ini, pos penempatan haram Adei Ad, Esh Kodesh, Ahiya, dan Kidah telah sedia dibina di kawasan tersebut.

Mahkamah Tinggi Zionis pada tahun lalu mengisytiharkan cadangan mereka untuk ‘menghalalkan’ sebilangan pos penempatan haram Yahudi, yang bukan sahaja mencabul undang-undang antarabangsa bahkan juga undang-undang Zionis sendiri.

Dalam notis yang ditandatangani oleh Komander Pusat Tentera Zionis itu, mereka mendakwa langkah itu dibuat kononnya untuk menghalang serangan pengganas, justeru mereka merampas tanah tersebut atas alasan keselamatan. Tanah tersebut akan diisytihar sebagai “tanah negara” dan dikawal penuh oleh tentera Zionis.

Terdapat sekitar 12 kawasan penempatan haram dan 27 pos penempatan haram di wilayah Nablus, menempatkan sekitar 23,000 pendatang Yahudi yang dikategorikan sebagai bersikap paling melampau.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts