Zionis rampas tiga rumah milik penduduk Palestin

BEIT LAHM, 17 Mei 2016 (Maan) — Mahkamah Majistret Zionis di al-Quds mengeluarkan arahan supaya tiga buah rumah Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah di al-Quds Timur dikosongkan, dengan mendakwa bangunan tersebut dimiliki oleh Yahudi sebelum tahun 1948.

Mereka mendakwa bangunan terbabit telah dibeli oleh keluarga Yahudi Arica yang berhijrah dari Syria pada tahun 1930-an, dan kemudian meninggalkan bangunan tersebut pada tahun 1948 berikutan tercetusnya peperangan Arab-Zionis.

Berikutan peperangan 1948 di mana lebih 750,000 penduduk Palestin dihalau menjadi pelarian, ketiga-tiga bangunan tersebut menjadi milik penduduk Palestin.

Usaha mengusir penduduk di Sheikh Jarrah diterajui oleh pemimpin pertubuhan pelampau pendatang Yahudi Israel Land Fund (ILF), Aryeh King. Beliau juga merupakan dalang menghalau beberapa keluarga Palestin lain dari rumah mereka di al-Quds Timur.

ILF dikategorikan sebagai sebuah badan yang tidak berasaskan keuntungan dan mendapat pengecualian cukai di Amerika melalui perantaraan kewangan Central Fund for Israel. Mereka membawa misi untuk memindah milik hartanah penduduk Palestin kepada pendatang Yahudi bagi melaksanakan program Yahudisasi al-Quds Timur.

Mereka juga menghalang penduduk di al-Quds Timur daripada menjual hartanah kepada penduduk Palestin, dengan mengumpul dana untuk memberi tawaran balas kewangan yang lebih berganda-ganda lumayan.

ILF menggunakan undang-undang Hal-hal Perundangan dan Pentadbiran Zionis tahun 1970 untuk memaksa penduduk Palestin meninggalkan rumah mereka. Menurut undang-undang tersebut, seseorang Yahudi dibenarkan mendakwa hakmilik ke atas sesuatu harta sekiranya beliau dapat membuktikan harta tersebut pernah menjadi milik Yahudi sebelum tahun 1948.

Namun undang-undang tersebut hanya terpakai kepada orang Yahudi. Penduduk Palestin yang dirampas tanah dan harta mereka semasa dan selepas penubuhan negara Zionis pada tahun 1948 bagaimanapun tidak boleh menggunakan undang-undang tersebut walapun hak mereka jelas termaktub dalam undang-undang antarabangsa Resolusi PBB 194.

Kini lebih 300,000 pendatang Yahudi tinggal di al-Quds Timur, satu pencabulan terang-terangan ke atas undang-undang antarabangsa.

Sheikh Jarrah merupakan kejiranan Palestin yang paling terdedah kepada usaha Yahudi merampas tanah kerana ia terletak berdekatan Kota Lama, penempatan haram Ramat Eshkol dan Givat Shappira, dan juga Universiti Hebrew.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts