Zionis rancang luaskan kawasan tembok pemisah dan penempatan haram Ramot

AL-QUDS, 22 Feb 2016 (PIC) — Majlis perbandaran Zionis di al-Quds telah merampas tanah milik penduduk Palestin di al-Quds bagi meluaskan lagi kawasan tembok pemisah dan penempatan haram Ramot.

Ketua bagi Jabatan Pemetaan di Persatuan Kajian Arab, Khalil Tafakaji menyatakan bahawa Kementerian Kewangan Zionis telah mengeluarkan arahan untuk merampas tanah milik penduduk Palestin di beberapa kawasan berlainan sekitar al-Quds, termasuk seluas 45 dunum (11.2 ekar) di bandar-bandar Shuafat, Anata dan Walaja.

Menurut Kementerian Zionis tersebut, arahan dikeluarkan atas alasan bahawa sebahagian daripada kawasan terbabit akan dirampas untuk tujuan keselamatan, manakala sebahagian lagi akan digunakan untuk membina kemudahan awam.

Tanah yang dirampas di Walaja, di selatan al-Quds, akan digunakan untuk meluaskan lagi tembok pemisah dan membina sebuah lintasan baharu.

Khalil amat yakin bahawa rampasan tanah khususnya di bandar Walaja sebenarnya bertujuan untuk memisahkan al-Quds dari Tebing Barat. Beliau juga mengesahkan bahawa pihak berkuasa penjajah Zionis merancang untuk meluaskan kawasan penempatan haram Ramot, melibatkan lebih 419 dunam tanah penduduk Palestin di Lifta, Beit Hanina dan Beit Iksa di al-Quds.

Dalam perancangan tersebut, 1,435 unit rumah baharu dan 240 buah villa serta kemudahan awam akan dibina.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts