BDS Malaysia menggesa Avisena Healthcare mempertimbangkan semula keputusannya menerima pelaburan daripada firma antarabangsa Kohlberg Kravis Roberts & Co (KKR), susulan dakwaan bahawa firma tersebut mempunyai hubungan pelaburan yang signifikan dengan Israel.
Dalam kenyataan medianya, BDS Malaysia menyenaraikan beberapa syarikat dalam portfolio KKR yang mempunyai operasi atau kepentingan di Israel, antaranya Guesty, Global Technical Realty (GTR), Semperis dan Artlist.
Menurut kumpulan itu, Guesty ialah platform pengurusan hartanah yang berasal dari Israel, manakala GTR terlibat dalam pembangunan pusat data dan Semperis mempunyai aktiviti penyelidikan serta pembangunan di negara tersebut. Artlist pula merupakan platform kandungan digital yang berpangkalan di Tel Aviv.
BDS Malaysia turut membangkitkan pegangan majoriti KKR dalam Aviv Group, yang memiliki Yad2 Internet Ads Ltd. Kumpulan itu mendakwa platform Yad2 memuatkan penyenaraian hartanah di penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Isu berkenaan turut dikaitkan dengan situasi kemanusiaan di Gaza. BDS Malaysia merujuk beberapa laporan antarabangsa berkaitan serangan terhadap kemudahan kesihatan, kematian petugas perubatan dan jumlah korban rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Menurut BDS Malaysia, hubungan pelaburan tersebut menimbulkan persoalan etika terhadap Avisena sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan. Namun, kumpulan itu menegaskan bahawa pihaknya tidak menuduh Avisena terlibat secara langsung dalam tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.
Sebaliknya, BDS Malaysia meminta Avisena menilai semula sumber modal yang diterima dan kesesuaiannya dengan nilai kemanusiaan serta prinsip penjagaan kesihatan yang diperjuangkan syarikat tersebut.
Kumpulan itu turut menyeru masyarakat Malaysia membuat pertimbangan sendiri sebelum menggunakan kemudahan Avisena.
Kenyataan berkenaan disokong oleh 31 organisasi, termasuk CENTRA Malaysia, Sekretariat Solidariti Palestin, SEJAGAT, Dunia Palestin, HALUAN dan MAQDISIY.



