Latarbelakang Pertubuhan Yahudi Yang Ingin Memusnahkan Masjid al-Aqsa

BANDAR BARU BANGI, 6 Nov 2014 (Al-Araby Al-Jadid) — Peristiwa menembak Rabbi Yehuda Glick, salah seorang pendukung yang menonjol dalam memperjuangkan pembinaan Kuil Ketiga di atas runtuhan Masjid al-Aqsa, digunakan sepenuhnya oleh pihak berkepentingan untuk menyebarkan pandangan yang mengelirukan.

Pandangan tersebut mendakwa bahawa keinginan untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa hanya digerakkan oleh individu atau kumpulan tertentu sahaja. Sebenarnya, terdapat beberapa kumpulan agama Yahudi yang bukan sahaja menyeru kepada pemusnahan al-Aqsa tetapi juga mengambil langkah-langkah praktikal untuk mencapai cita-cita mereka itu.

Kumpulan Temple Mount Faithful merupakan salah satu daripada kumpulan yang sangat menonjol dalam perkara ini. Ahli-ahli kumpulan ini memainkan peranan penting dalam program-program menceroboh masuk ke dalam al-Aqsa. Ia diketuai oleh seorang bekas askar, Gershon Solomon, yang secara terbuka mengadakan kempen mengutip dana yang diperlukan untuk meruntuhkan masjid itu, dengan membuat kutipan dari orang-orang Yahudi di Amerika, Kanada dan Australia.

Solomon berpegang bahawa tempat-tempat suci untuk orang Islam terletak di Mekah, bukan di al-Quds, dengan mendakwa bahawa al-Quds tidak disebut di dalam al-Quran. Kumpulan ini telah melantik arkitek Gideon Harlap bagi menyediakan pelan terperinci untuk pembinaan Kuil Ketiga di atas runtuhan Masjid al-Aqsa.

Manakala sebuah lagi kumpulan, Temple Institute, dipimpin oleh Rabbi Israel Ariel iaitu salah seorang rabbi paling ternama yang berpengkalan di Kota Lama al-Aquds. Sejak ditubuhkan pada tahun 1995, kumpulan ini dan ahli-ahli rabbinya menumpukan perhatian kepada usaha mewujudkan ‘doktrin asas’ yang perlu dalam rangka memberi legitimasi agama dan menambah alasan keagamaan bagi orang Yahudi dalam cubaan mereka merosakkan al-Aqsa.

Ariel memainkan peranan penting dalam mengubah doktrin berkaitan isu orang Yahudi beribadah di Masjid al-Aqsa. Selepas rejim Zionis menakluk al-Quds pada tahun 1967, Ketua Rabbi Yahudi mengeluarkan satu kenyataan yang mengharamkan orang Yahudi beribadah di Masjid al-Aqsa dengan alasan bahawa tempat tersebut mengadungi sisa-sisa orang Yahudi kuno dan oleh itu mereka tidak boleh beribadah di masjid itu sehinggalah Kuil Yahudi dibina semula.

Areil cuba untuk meyakinkan beberapa orang rakannya dari kalangan rabbi kanan dengan beberapa justifikasi yang panjang-lebar yang membenarkan Yahudi beribadah di Masjid al-Aqsa, tetapi gagal. Namun pada awal tahun 2000 bilangan rabbi yang membenarkan Yahudi beribadah di Masjid al-Aqsa semakin bertambah.

Pada bulan Julai 2008, lebih 100 orang rabbi kanan mengeluarkan satu kenyataan membenarkan orang Yahudi beribadah di Masjid al-Aqsa. Tindakan ini mendorong ramai Yahudi untuk memasuki Masjid al-Aqsa dan beribadah di dalamnya. Bagaimanapun Ketua Yayasan Rabbi masih enggan mengubah kenyataan asal yang mengharamkan orang Yahudi beribadah di situ.

Kini kumpulan ini telah berpindah dari hal-hal teori kepada kerja yang praktikal. Januari lalu, akhbar The Maarev mendedahkan bahawa satu delegasi mereka telah pergi ke Rome bagi mendesak kerajaan Itali supaya menyerahkan semula sebahagian daripada Kuil Kedua yang telah “dicuri” oleh komander Roman, Titus, 2,000 tahun lalu.

Selain daripada dua kumpulan di atas, terdapat juga kumpulan Hai Vekayam yang dipimpin oleh Yehuda Etzion iaitu bekas pemimpin pertubuhan pengganas Yahudi yang bertanggungjawab melakukan beberapa cubaan membunuh penduduk dan tokoh Palestin pada awal 1980-an.

Etzion menubuhkan kumpulan ini selepas dibebaskan dari hukuman penjara selama hanya empat tahun. Beliau secara terbuka mendedahkan pandangan dan teori kepada umum tentang masa depan al-Quds, sehingga menjadikan beliau sebagai seorang “bintang” dalam banyak rancangan bicara yang disiarkan dalam televisyen Zionis.

Dalam konteks yang sama, Movement for the Establishment of The Temple yang terdiri daripada beberapa orang rabbi dari kawasan penempatan pendatang Yahudi di Tebing Barat dan juga dari Amerika, berusaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan Yahudi tentang keperluan mereka berkerja untuk membina semula kuil di atas runtuhan Masjid al-Aqsa. Mereka menyifatkan perkara ini sebagai tanggungjawab keagamaan yang paling dituntut ke atas setiap orang Yahudi tidak kira di mana mereka berada.

Mereka menganjurkan forum dan seminar serta menerbitkan laporan, di samping menyebarkan risalah di mana sahaja tempat yang ada orang Yahudi. Tidak seperti kumpulan-kumpulan lain, mereka menghadkan keahlian dari kalangan Yahudi yang komited dengan agamanya sahaja. Mereka juga cuba menarik perhatian golongan Yahudi sekular dan tokoh-tokoh Kristian berhaluan kanan di Amerika, di mana mereka bergantung kepada golongan ini untuk mengumpul dana bagi membiayai aktiviti yang dijalankan.

Pergerakan ini juga menganjurkan acara tahunan perarakan besar-besaran menuju ke Masjid al-Aqsa bagi menuntut pembinaan kuil di atas runtuhan masjid, yang dihadiri oleh puluhan ribu Yahudi dan Kristian Anglican.

Organisation for Human Rights on the Temple Mount pula ditubuhkan oleh Professor Hillel Weiss, salah seorang pemikir arus agama Zionis yang menuntut supaya dimusnahkan Masjid al-Aqsa. Pertubuhan ini juga didirikan bagi mencari kerajaan alternatif yang berpegang kepada prinsip keagamaan. Kepimpinan kumpulan ini terdiri daripada 23 ahli yang bermesyuarat secara rahsia.

Pertubuhan Jewish Leadership pula merupakan pergerakan partisan dan menjadi satu kem ideologi yang penting bagi parti Likud. Ia dipimpin oleh Moshe Feiglin, Timbalan Speaker Knesset yang aktif menyertai pencerobohan besar-besaran ke Masjid al-Aqsa.

Selain daripada pertubuhan-pertubuhan ini, ada beberapa organisasi yang kurang menyerlah seperti Women for Temple Mount yang mengutip barang kemas untuk diletakkan di dalam kuil apabila dibina kelak. Juga terdapat Jerusalem Forum yang menumpukan perhatian kepada mengawal sebanyak mungkin rumah-rumah penduduk Palestin di Kota Lama al-Quds. Usaha ini dilihat sebagai langkah awal mereka bagi membolehkan Yahudi mengelilingi Masjid al-Aqsa dari semua arah.

—-

Artikel ini diterjemah dari tulisan Dr Saleh Al-Naami dalam Al-Araby Al-Jadid, 6 November 2014.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts