Genap setahun serangan di Gaza dan seterusnya diluaskan ke Tebing Barat serta Beirut di Lubnan, Israel gagal dalam dua tujuan utamanya iaitu membawa balik tawanan di Gaza dan menghapuskan Hamas.
Bahkan dua nama utama pemimpin Hamas yang amat dikehendaki mereka iaitu Yahya Sinwar dan Mohamad Deif gagal ditemui walaupun hampir setahun tentera rejim haram Israel beroperasi dan menguasai hampir sepenuhnya daratan Gaza. Jadi apa maknanya penerusan peperangan khususnya ke Tebing Barat dan ke Beirut?

Pertamanya Israel tidak menemui jalan keluar walaupun telah membunuh 42 ribu nyawa rakyat Gaza, tetapi tidak memberi makna kemenangan buat mereka kerana Hamas masih disitu dan gerakan pembebasan semakin menonjol di Tebing Barat yang sebelumnya gagal dikesan Israel serta kebangkitan gerakan berikutnya dari Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman yang memberi isyarat tiada jalan mudah buat Israel selepas ini walaupun berjaya membunuh 40 atau 100 ribu orang awam sekalipun.
Mereka wajib akan ditentang baik dalam dan luar negara sekalipun. Maka cara berikutnya ialah mengheret dunia kepada perang serantau (regional war) dengan memprovok Iran bagi memastikan Amerika, UK dan lain-lain kuasa Barat menyertai Israel dalam ‘Perang Besar’ yang cuba dicipta mereka.
Tulisan sebelum ini kita sudah bincangkan sikap Iran yang walaupun berkeupayaan dalam teknologi persenjataan, tetapi berhalangan dalam sektor ekonomi yang menjerat rakyat ketika ini, maka tidak mudah buat negara tersebut terperangkap dalam provokasi Israel untuk mereka menyertai perang skala penuh, melainkan terus menaja non state actor seperti Ansorullah (Houthi) di Yaman, Hizbullah, Jihad Islami, Hamas di Palestin, Lubnan dan Syria serta Khata’ib Hizbullah di Iraq.
Apa pula sikap Eropah? Individu paling keras kritikannya terhadap serangan Is ra el ke atas Lubnan ialah Emmanuel Macron, Presiden Perancis. Malah beliau menggesa dikenakan sekatan penjualan senjata terhadap Israel. Sejak setahun Perancis cuba menjadi orang tengah merundingkan perdamaian antara Hizbullah di Lubnan dengan Israel serta kumpulan-kumpulan lain.
Malah Perancis menolak untuk menyertai US dan UK dalam operasi di Laut Merah menentang Houthi kerana bimbang hilang kredibiliti sebagai mediator yang dipercayai. Maka apabila Beirut diserang ganas Israel dengan 1500 pengeboman dilakukan dalam masa satu hari di seluruh Lubnan pada hari mereka membunuh Syed Hasan Nasrullah, maka Perancis turut terkesan kerana dilihat kegagalannya mengelakkan perang.
Dalam kes pembunuhan Ismail Haniyeh pada 31 Julai 2024, Perdana Menteri Britain, Presiden Perancis dan Cancelor Jerman secara berasingan menghubungi secara langsung Presiden Iran memujuk beliau agar Iran tidak melakukan serangan balas dengan janji mereka akan memastikan gencatan senjata akan segera dilakukan di Ga za. Tetapi mereka gagal dan Iran melakukan serangan dua bulan berikutnya.
Dalam kes Houthi di Yaman, Perancis bersama Itali dan Sepanyol secara bersama menolak menyertai operasi ketenteraan diketuai Amerika. Terbaru, Presiden Macron dalam temubualnya dengan media menempelak US yang bagi beliau tidak lagi meletakkan Eropah sebagai keutamaan berbanding lain-lain negara yang disebut beliau ialah China dan lain yang tidak disebut dianggap ramai pihak ialah Israel.
Apabila Russia menyerang Ukraine Februari 2022, Eropah awalnya cuba berusaha merundingkan dengan Presiden Putin agar ianya ditamatkan. Namun pasca ketiadaan Canselor Jerman Angela Markel, kelihatan usaha tersebut tidak lagi berjalan. Malah Perancis dan Jerman iaitu dua negara yang mengambil sikap cuba berunding sehabis mungkin di awal perang, kini terlibat secara serius membantu ketenteraan Ukraine.
Baca dengan sabar ya.
Kita akan berbalik ke Ga za, ke Palestin sekejap lagi. Ok.
Penghujung 2022 dan 2023, Perancis kehilangan taringnya di Afrika apabila 5 negara Afrika khususnya di Afrika Barat seperti Burkina Faso, Mali dan Niger bertukar pemerintah yang pro-Perancis melalui rampasan kuasa tentera.
Maka pengaruh Perancis sebagai salah satu kuasa besar di benua Afrika semakin terhakis dengan begitu drastik apabila hilang kawalan di negara-negara bekas jajahannya. Bahkan pemimpin pemimpin negara Afrika yang tidak terlibat dengan rampasan kuasa juga dengan beraninya mengkritik ‘penjajahan bentuk baru’ Perancis dalam sidang Afrika-Perancis secara berdepan dengan Macron.
Apabila 3 negara yang melakukan rampasan kuasa tentera diugut Nigeria yang dianggap ‘wakil’ Perancis di benua tersebut untuk diambil tindakan ketenteraan, mereka segera menjemput Russia. Russia datang dengan ‘private military’ iaitu Watner Group yang sememangnya sejak awal mula menapak di beberapa negara Afrika.
Maka tentera Perancis secara langsung dihalau keluar dari negara-negara tersebut dan ‘wakilnya’ Nigeria juga gagal menghalang penerusan penguasaan kerajaan baru anti Perancis dan Amerika di Afrika.
Maka tidak pelik selepas itu, Perancis semakin aktif terlibat secara langsung membantu tentera Ukraine menentang Russia kerana pengaruh atau sokongan Russia kepada rejim baru tentera di Afrika. Setelah dua tahun peperangan, WTO dan IMF mengistiharkan Russia tidak terjejas teruk ekonominya disebalik sekatan demi sekatan dikenakan terhadap negara tersebut.
Panjang hendak dihurai kenapa, tetapi antaranya ia berkait dengan bekalan keperluan asas iaitu sektor tenaga dan makanan yang mereka keluarkan sendiri lebih mencukupi dan berlebihan pula serta kedegilan negara-negara bukan Barat yang terus menjalinkan hubungan dagang dengan Russia.
Apa jadi dengan Eropah? Kegagalan mereka mendapatkan bekalan minyak dan gas dari Russia akibat sekatan yang mereka sendiri kenakan telah menyebabkan kenaikan harga bahan bakar tersebut di Eropah sekaligus kenaikan harga barangan secara mendadak. Inflasi naik tinggi di Eropah berbanding Asia. Malah Malaysia yang sebahagian kita tidak bersetuju dengan dasar kerajaan pun, inflasinya jauh lebih rendah berbanding Eropah yang dibangga-banggakan sebahagian itu.
Mereka terpaksa membeli gas Russia dari pihak ketiga iaitu India yang turut membelinya dengan Russia dan meningkatkan pembelian dari negara negara lain khususnya di rantau Teluk seperti Saudi, UAE, Qatar dan Iraq. Juga tidak pelik ada yang membeli dari Venezuela yang mereka boikot selama ini. Maka kosnya berganda tinggi berbanding beli terus dari Russia.
Kemudian datang kumpulan Ansorullah Huothi di Yaman melakukan hampir setahun serangan di pintu masuk ke Laut Merah menyebabkan mereka terpaksa mengelak laluan singkat tersebut dan pergi ke pesisir Afrika. Laluan yang jauh dan bertambah kos. Isu kedua ialah Eropah terpaksa menerima jutaan pelarian Ukraine yang sudah mencecah 15 juta yang hilang tempat tinggal.

Jika 10 tahun dahulu, sebahagian negara Eropah memukul pelarian Syria yang cuba memasuki negara mereka, menghina dan menghalau mereka yang jumlahnya sekitar sejuta sahaja, kini mereka berhadapan dengan lebih 10 juta pelarian ‘berkulit putih’ dari Ukraine yang bertebaran di seluruh Eropah. Ia bebanan baru kepada mereka untuk menerima dan menguruskannya.
Timbul lagi konflik sesama masyarakat yang merasakan hak ekonomi mereka terpaksa dikongsi dengan pelarian Ukraine. Hal ini dihadapi Turki ketika ini dalam kes lebih 3 juta pelarian Syria yang lebih 10 tahun berada di Turki.
Jadi Eropah terpaksa menerima jumlah lebih besar daripada itu. Penghinaan sebahagian mereka terhadap pelarian Asia dan Afrika yang berhijrah ke negara mereka kini berbalik kepada mereka sendiri.
Sebenarnya tidak lama pun sejarah itu berbalik. Di antara Perang Dunia Pertama ke Perang Dunia Kedua, Eropah berdepan krisis kebanjiran pelarian berkulit putih dari Russia dan Armenia dalam jumlah lebih 10 juta. Ia terlalu besar di era penduduk dunia dan Eropah di tahun 20-40-an itu yang masih kecil. Era berikutnya ialah pelarian Yahudi dari Eropah Timur khususnya dari Russia dan Poland yang berdepan genocide dalam peristiwa Holocaust.
Yahudi di Russia, Jerman dan Poland dibunuh dan diseksa beramai-ramai oleh rejim Nazi berkulit putih. Bukan dibunuh oleh orang Arab atau Palestin. Tapi orang Eropah membunuh mereka. Maka baki yang hidup melarikan diri ke Perancis, Britain, Itali, Amerika dan lain-lain negara Barat. Sebahagian pemimpin politik Britain amat tidak senang dengan pelarian Yahudi yang melarikan diri ke negara mereka. Antaranya Lord Balfour yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Luar Britain.
Tetapi 1917, Lord Balfour lah yang mengistiharkan Deklarasi Balfour iaitu persetujuan dengan Zionis untuk menubuhkan sebuah negara khas untuk orang Yahudi di Palestin. Maka ramai beranggapan tindakan beliau tersebut bertujuan untuk mengelak Britain menjadi kediaman ramai pelarian Yahudi yang menjadi mangsa Holocaust. Tetapi selepas 100 tahun, kini pelarian berkulit putih kembali membanjiri negara-negara Eropah termasuk Britain iaitu pelarian Ukraine yang menjadi mangsa perang Russia-Ukraine.
Pokoknya serba tidak kena politik, sosial dan paling teruk ekonomi Eropah disebabkan Perang Russia-Ukraine, ditambah pula serangan ganas Israel di Gaza yang memberi impak tidak langsung kepada mereka disebabkan halangan di Laut Merah. Maka apa akan jadi jika ‘perang besar’ atau ‘regional war’ terjadi di Asia Barat?
Samada Eropah khususnya UK yang sentiasa wala’ kepada Amerika atau Jerman, Perancis dan Itali terlibat secara langsung atau tidak, ia tetap akan menambah beban krisis ekonomi yang mereka hadapi. Begitu juga krisis sosial dan politik.
Malah jika mereka terlibat secara langsung, semakin berat kesan akan mereka terima. Panjang hendak diulas, tetapi apa yang berlaku dua tahun ini akibat Ukraine dan Gaza, memberi bukti Eropah sesekali tidak akan menerima kesan yang positif jika perang berlaku.
Mereka boleh memenangi perang yang memakan masa bertahun-tahun lamanya. Jika Perang Iraq 2003 yang dirancang beberapa bulan berlarutan selama hampir 20 tahun menyebabkan US kehilangan USD 5 trillion (Iraq dan Afghanistan) dan tidak termasuk kos dikeluarkan oleh negara Eropah lain yang terlibat sama termasuk Ukraine.
Maka apa akan jadi jika perang itu melibatkan Iran, kumpulan-kumpulan di Iraq, Lubnan, Pales tin, Syria dan Yaman? Pastinya mereka berganda lebih berkeupayaan berbanding Iraq era Saddam atau Afghanistan era Taliban dahulu. Jika dua negara itu perang berlanjutan selama 20 tahun, apa akan jadi jika berlawan dengan negara dan kumpulan disebut di atas? Pastinya lebih sukar, memakan masa lebih lama dan kosnya berganda.
Selepas itu, dunia akan menyaksikan kemerosotan kekuasaan Barat dan sekaligus Israel yang menjadi tempat bergantung mereka selama ini turut akan terkesan teruk. Maka dengan itu juga, mereka dengan sendirinya membuka ruang kepada peningkatan pengaruh dan kekuasaan ‘Timur(s)’ yang rantau mereka lebih aman, saling menghormati perbezaan dan lebih mudah bekerjasama berbanding Barat yang suka memaksa.
Di atas asbab-asbab inilah, maka kita berpendapat bahawa Eropah tidak akan mudah mudah memasuki perangkap Israel yang tanpa henti memprovokasi lawan agar ‘Perang Besar’ terjadi di Asia Barat agar mereka boleh fokus kepada Palestin yang Barat fokus kepada negara-negara lain.
Maka sebab itu jugalah Macron amat keras mengkritik Israel dalam kes Lubnan dan tiga pemimpin utama negara terbesar di Eropah iaitu UK, Jerman dan Perancis sentiasa berkomunikasi dengan Presiden baru Iran dan pemimpin pemimpin Arab untuk mengelakkan perang besar terjadi.
Apapun jalan yang dirangka Israel menemui jalan mati. Keganasan dan kezaliman di era AI, EV, Algoritma dan 5/6G ini sukar ditutup dan dibohongi kerana billion mata yang sedang menjadi saksi dan hakim dan pastinya majoriti akan menghakimi Israel sebagai pesalah yang huduh, kejam, busuk dan mesti dihindari.
Ini kerana isu di Gaza dan di Palestin bukan isu Arab atau Islam. Ia adalah isu kemanusiaan rentas agama dan bangsa. Sebagaimana simpati kita kepada kanak-kanak dan wanita Ukraine yang menjadi pelarian, begitu juga lah dunia bersimpati dengan wanita dan kanak-kanak Pa les tin yang dibunuh dan hilang kediaman.
Maka hari ke hari Israel akan semakin terpencil, menyendiri dan tertumus ke lubang kubur yang mereka gali sendiri. Tiada makna membunuh puluhan malah ratusan ribu nyawa orang awam sekalipun jika dunia tidak bersama mereka. Hari hari akhir penjajahan mereka akan tiba. Wajib ianya akan berlaku.
Tulisan Nasaie Ismail