Masjid al-Aqsa Memasuki Tahap Sangat Merbahaya Perancangan Zionis

BAITULMAQDIS, 9 Feb 2012 — Tindakan pihak berkuasa rejim pengganas zionis Yahudi merobohkan bangunan-bangunan Islam di sebelah utara Dataran Buraq adalah sebagai persediaan mereka untuk membina sebuah sinagog besar bersebelahan dengan Masjid al-Aqsa. Ini merupakan fasa keenam dan terakhir dalam perancangan zionis Yahudi untuk membina Haikal Sulaiman di atas runtuhan Masjid al-Aqsa.

Zionis Yahudi merobohkan beberapa bangunan bersejarah berhampiran Masjid Al-Aqsa untuk sebuah sinagog dan stesen polis.
Zionis Yahudi merobohkan beberapa bangunan bersejarah berhampiran Masjid Al-Aqsa untuk sebuah sinagog dan stesen polis.

Demikian menurut padangan seorang penganalisa dan pakar khusus dalam isu Baitulmaqdis, Dr Jamal Amro sepertimana dilaporkan oleh Palestinian Information Center (PIC).

Dr Jamal menjelaskan bahawa fasa pertama perancangan mereka telah tercapai dengan merampas kawalan ke atas semua terowong bawah tanah di dalam Kota Lama dan di bawah Masjid Al-Aqsa.

Fasa kedua adalah pembinaan 61 buah sinagog Yahudi di sekitar Masjid al-Aqsa, manakala persediaan kini sedang giat dijalankan untuk membina sinagog yang ke-62, yang akan menjadi sinagog yang terbesar di dunia, bersebelahan dengan Masjid Al-Aqsa di sebelah barat. Pembinaan ini sangat penting bagi zionis Yahudi dalam usaha mereka untuk memusnahkan sejarah Arab dan Islam di bandar tersebut.

Dr Jamal menambah bahawa fasa ketiga merupakan usaha untuk mereka merebut harta umat Islam dari era pemerintahan Umayyah dan Abbasiyah, manakala fasa keempat termasuk mendirikan candelier emas seberat 45 kilogram di kawasan yang menghadap Dataran Buraq dari arah barat.

Fasa kelima, kata Dr Jamal, “merupakan selesainya skim eksekutif mereka untuk membina model Haikal Sulaiman.” Beliau menekankan bahawa fasa ini adalah sangat genting kerana ia bertujuan untuk memberikan perlindungan politik, undang-undang dan bukti sah yang mereka perlukan untuk pelaksanaan pembinaan haikal tersebut dalam fasa keenam.

“Al-Aqsa sebenarnya telah memasuki satu peringkat berbahaya, dengan siapnya semua enam fasa tersebut. Ini bermakna bahawa kita sedang menghadapi peringkat pelaksanaan perancangan besar mereka,” kata Dr Jamal.

Adalah menjadi satu kewajipan ke atas setiap orang Islam bahkan setiap manusia yang mempunyai kebebasan untuk menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan Palestin secara umumnya. Zionis Yahudi secara terang-terangan telah melakukan kezaliman, pembunuhan dan memusnahkan harta benda sebagai usaha mengubah Baitulmaqdis menjadi sebuah kota Yahudi.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawoud, dari Maimunah RA berkata kepada Rasululah SAW: Wahai Rasulullah, berilah padaku satu fatwa tentang Baitulmaqdis. Baginda menjawab, pergilah kamu solat dalam Masjid Al-Aqsa. Jika kamu tidak mampu untuk pergi solat di dalamnya maka hantarlah minyak untuk dinyalakan pelita-pelita di Masjid al-Aqsa.

Kita wajib menyelamatkan tempat Isra’ Rasulullah SAW ini dan mempertahankannya dengan segala cara dan jalan yang kita mampu. Ini adalah kewajipan akidah, kerana Al-Aqsa adalah merupakan sebahagian dari agama dan akidah umat Islam.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts