10 Cedera Dalam Pertempuran di Beit Lahm

BEIT LAHM, 4 Dis 2018 — Sekurang-kurangnya 10 pemuda Palestin cedera dalam pertempuran sengit melawan tentera penjajah Zionis di kem pelarian al-Duheisheh di selatan wilayah Beit Lahm pagi tadi.

Tentera Zionis menyerbu masuk kem al-Duheisheh pada jam 7:00 pagi sebelum mengepung semua kawasan kejiranan di situ. Tidak lama kemudian pasukan tentera berpakaian preman tiba dan memecah masuk rumah sebelum menculik aktivis Maali Maali, 23, sehingga mencetus pertempuran di seluruh kawasan kem. Tentera menyerang kumpulan-kumpulan pemuda Palestin dengan melepaskan tembakan peluru hidup, peluru getah dan gas pemedih mata.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan 10 orang cedera, di mana tujuh daripada mereka ditembak dengan peluru hidup. Semua mereka dikejarkan ke hospital Beit Jala dengan menaiki kenderaan persendirian kerana tentera Zionis menghalang ambulan masuk ke tempat kejadian.

Pemuda Muhammad Mizher dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal apabila peluru menembusi bahagian tulang belakangnya. Seorang lagi pemuda, Jidah al-Atrash, juga dilaporkan cedera parah.

Seramai tiga pemuda lain cedera ditembak dengan peluru getah.

Hospital Beit Jalan melancar rayuan derma darah untuk membantu mangsa-mangsa kerana mereka kehilangan darah dalam tempoh yang lama di tempat kejadian.

(Maan, PIC, PNN)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts