14 diculik, 50 cedera dalam pertempuran di Tebing Barat dan Baitulmaqdis

NABLUS, 26 Jun 2018 — Sekurang-kurangnya 12 penduduk Palestin diculik dan 50 lagi cedera dalam pertempuran dengan tentera Zionis di Tebing Barat sepanjang malam tadi.

Wanita dua beradik, Nour Afalqa, 20, dan Ghada Afalqa, 42, turut menjadi mangsa culik tentera Zionis di bandar al-Eizariya, timur Baitulmaqdis.

Dalam kejadian di kota Nablus, tentera Zionis menyerang penduduk Palestin bagi membawa pendatang Yahudi menceroboh masuk ke kawasan makam di Tell Balata.

Seorang kanak-kanak cedera ditembak dengan peluru hidup dan dikejarkan ke Hospital Rafidia. Tentera Zionis melepaskan lima das tembakan ke arah kereta yang dipandu oleh ayahnya, Mohammad Abdullah Mer’ey, yang turut cedera di tangan kanan.

Sekurang-kurangnya 26 lagi pemuda Palestin termasuk jurnalis cedera ditembak dengan peluru getah dan puluhan yang lain mengalami sesak nafas diserang dengan gas pemedih mata.

Tentera Zionis turut memecah masuk rumah dan menggeledah penduduk di kem pelarian Balatan, menahan dua pemuda Palestin selama beberapa jam sebelum menculik dua yang lain, Faraj Mustafa Abu Leil dan Muhammad Nasser Abu Huwaila, dalam keadaan tercedera.

Pada masa yang sama, tentera Zionis menggempur kawasan timur Qalqilya dan menyoal siasat penduduk Palestin di situ.

Pasukan peronda tentera menyerbu kem pelarian Bour Shamas di Tulkarem, mencetus pertempuran dengan pemuda-pemuda Palestin. Mereka turut menggeledah rumah-rumah di sekitar kawasan Masjid Abu Ubaida.

Sementara itu pasukan tentera bersenjata berat dikerah ke kawasan pos penempatan haram Kiryat Arba di wilayah al-Khalil, berikutan dakwaan seorang penduduk Palestin telah menyelinap masuk ke kawasan tersebut.

(PIC, Maan, IMEMC)

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts